LONDON: Seorang pemandu akhirnya lulus ujian kelas memandu selepas gagal menjawabnya sebanyak 157 kali.
Lapor Oddity Central, Agensi Piawaian Kenderaan dan Pemanduan United Kingdom (DVSA) melaporkan lelaki itu merupakan pemegang rekod baharu bagi bilangan calon yang gagal dalam ujian pengetahuan pemanduan.
Lelaki itu yang enggan dikenali berjaya lulus ujian teori selepas membelanjakan sebanyak 3,000 pound (RM16,563) bagi proses tersebut.
Lelaki itu digelar sebagai pemandu paling teruk di dunia oleh beberapa agensi media malah, ada yang menggelarnya sebagai contoh individu yang mempunyai semangat ketabahan.
Pengarah Kereta Pajak Terpilih, Mark Tongue berkata, semangat lelaki itu wajar dincontohi kerana gagal sekali tidak bermakna gagal buat selamanya.
“Memang betul seperti yang diperkatakan, sekiranya tidak berjaya pada peringkat pertama, cuba dan cuba lagi.
“Untuk lulus ujian memandu boleh menjadi cabaran hidup paling rumit dan sebahagian daripada kita memerlukan banyak kali percubaan untuk lulus.
“Sama ada anda gagal sekali atau 157 kali, tiada istilah malu dan sesiapa yang boleh melakukannya bermakna anda adalah hebat,” katanya.
Menurut data DVSA, walaupun lelaki itu menduduki carta pertama di dunia kerana gagal banyak kali, namun, dia mempunyai pesaing terdekat.
Tempat kedua bagi bilangan percubaan ujian memandu paling banyak di dunia menjadi milik seorang wanita berusia 30 tahun yang mengambil ujian sebanyak 117 kali sementara tempat ketiga adalah seroang wanita berumur 48 tahun yang gagal melepasi ujian itu buat kali yang ke-94.