WASHINGTON: Pertahanan merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan keselamatan sesebuah negara.
Perkara itu juga meliputi kekuatan pasukan ketenteraan yang dimiliki oleh negara dalam menolak ancaman luar.
Portal Global Firepower dan Military.com pada 2020 menyenaraikan lima negara yang mempunyai pasukan ketenteraan yang paling kuat di dunia.
Senarai itu berdasarkan kekuatan ketenteraan, kewangan, keupayaan logistik dan lokasi yang strategik.
- Amerika Syarikat (AS)
Menurut Global Firepower, AS memiliki lebih banyak aset udara berbanding mana-mana negara di dunia ini.
AS mempunyai 2,085 pesawat tempur, 967 helikopter tempur, 945 pesawat dan 742 pesawat misi khas.
AS juga menerajui dunia dengan 39,253 kenderaan perisai, 91 kapal pemusnah dan 20 kapal induk.
Negara `Uncle Sam’ itu juga menganggarkan mempunyai kira-kira 1.4 juta anggota tentera yang aktif.
Washington telah memperuntukan AS$750 bilion (RM3.016 trilion) bagi bajet ketenteraan pada tahun lalu.
- Rusia
Negara ini mempunyai jumlah kereta kebal yang paling banyak di dunia ini iaitu sebanyak 12,950 unit.
Berdasarkan Global Firepower, jumlah kereta kebal yang dimiliki Rusia adalah lebih dua kali ganda berbanding AS.
Rusia juga mempunyai kira-kira 1.03 juta anggota tentera yang aktif.
Selain itu, Moscow mempunyai 27,038 kenderaan perisai, 6,083 unit artileri bergerak sendiri dan 3,860 unit projektor roket.
Angkatan Tentera Udara Rusia mempunyai 873 pesawat tempur dan 531 helikopter tempur manakala Tentera Laut memiiliki 62 kapal selam dan 48 kapal perang.
Rusia dianggarkan membelanjakan sebanyak AS$48 bilion (RM193 bilion) untuk ketenteraannya pada tahun lalu.
- China
Negara paling kuat di Asia menduduki tempat ketiga dalam senarai tersebut.
China memiliki anggota tentera paling ramai di dunia sebanyak 2.18 juta.
Beijing berhasrat membangunkan lagi tentera laut sejak kebelakangan ini dengan terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan.
Lapor Global Firepower, ketika ini, mereka memiliki 74 kapal selam, 52 kapal frigat dan 36 kapal pemusnah.
Negara republik ini mempunyai 33,000 unit kenderaan perisai dan 3,500 kereta kebal.
Angkatan Tentera Udara China mempunyai 1,232 unit pesawat tempur dan 281 helikopter tempur.
China memperuntukkan sebanyak AS$237 bilion (RM953 bilion) bagi angkatan tentera negara itu pada 2020.
- India
India mempunyai 1.4 juta anggota tentera aktif dalam angkatan tentera.
Menurut Global Firwpower, India merupakan salah sebuah negara dengan kekuatan ketenteraan yang mantap.
Terdapat sebanyak 4,292 kereta kebal, 4,060 unit artileri kren dan 538 pesawat tempur.
New Delhi membelanjakan kira-kira AS$61 bilion (RM245 bilion) bagi aset ketenteraan pada tahun lalu.
- Jepun
Jepun mempunyai sebanyak 247,160 anggota tentera yang aktif.
Meskipun negara matahari terbit itu memiliki jumlah anggota tentera yang lebih rendah berbanding Korea Utara, ia masih mempunyai aset senjata yang terbaharu.
Berdasarkan laporan Global Firepower, negara itu mempunyai 152 pesawat misi khas, paling banyak berbanding mana-mana negara di dunia selain AS.
Malah, Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (MSDF) juga ada kira-kira 40 kapal pemusnah.
Terdapat 3,130 unit kenderaan perisai, 1,004 kereta kebal dan 119 helikopter tempur.
Jepun dianggarkan membelanjakan kira-kira AS$49 bilion (RM197 bilion) bagi ketenteraan pada 2020. – AGENSI