LONDON: Seorang peminat bola sepak yang pernah digelar lelaki paling gemuk di United Kingdom (UK) meninggal dunia selepas disyaki terkena serangan jantung.
Lapor The Sun, Barry Austin, 52, menerima gelaran itu selepas berat badannya mencecah 412 kilogram (kg) hanya terbaring di tempat tidur dan berusaha menurun berat badan demi kesihatannya sejak beberapa tahun ini.
Bekas pemandu teksi dari Chelmsley Wood, Birmingham itu juga terpaksa makan tengah hari pada Krismas lalu di tempat tidur berbanding keluarganya yang menikmati hidangan di ruang tamu rumahnya.
Dalam pada itu, pasangannya, Debbie, 50, sempat memasak ayam Belanda untuk keluarganya pada malam Krismas dan menerima permainan Xbox.
Namun, lelaki terbabit kemudian dikejarkan ke hospital setelah jatuh di kediamannya di Birmingham minggu ini dan dia dilaporkan meninggal dunia pada 1 Januari lalu.
Malangnya, Debbie tidak dapat bersama lelaki terbabit di hospital akibat sekatan Covid-19.
Dalam pada itu, saudaranya, Kirsty Steer yang berkahwin dengan anak tiri Barry, Marcuss Kirby memberitahu The Sun, berita kematian itu sangat mengejutkan dan berlaku secara tiba-tiba.
“Debbie dan kami semua bersedih. Semua bagai sukar dipercayai.Dia seorang lelaki yang baik, suka berbual, bergurau dan disenangi ramai. Dia mengalami serangan jantung dan selepas itu jatuh.
“Beberapa hari sebelum kejadian, dia dalam keadaan baik. Kesihatannya juga baik dan cukup bersemangat. Dia menyambut Krismas dengan meriah,” jelasnya.
Debbie terlalu kecewa untuk bersembang malam tadi tetapi anak perempuan mereka, Danielle yang turut bersedih memberitahu bahawa ayahnya ‘bergelut dengan kaki’ selepas kehilangan berat badan yang banyak.
“Kami tidak tahu berapa beratnya kerana dia sudah lama tidak menimbang. Kerana penurunan berat badan, dia mengalami kesukaran pada kakinya selepas badannya susut,” jelasnya.