BRISBANE: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang lebih dua minggu di kawasan semak ditemukan hidup pagi ini.
Menurut pihak berkuasa, Robert Weber, 58, ditemukan berhampiran empangan oleh penduduk tempatan selepas dia kali terkahir dilihat pada 6 Januari lalu ketika meninggalkan hotel di Kilkivan, kira-kira 200 kilometer ke utara Brisbane.
Sepanjang kehilangannya, lelaki itu hanya minum air dari empangan dan makan cendawan untuk kelangsungan hidupnya.
Polis Queensland terdahulu memaklumkan Weber menjadi hilang arah selepas kereta yang dipandunya memasuki jalan yang tidak dikenali.
“Lelaki itu duduk di dalam kereta bersama anjingnya selama tiga hari sebelum dia kehabisan bekalan air.
“Weber kemudiannya keluar dengan berkaki ayam untuk mencari air sebelum tersesat dan duduk di tepi empangan,” jelas kenyataan polis.
Selepas ditemukan, Weber dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – AFP