BEIJING: Sebuah syarikat teknologi di China dipercayai menggunakan kusyen pintar untuk memantau segala aktiviti dan pergerakan kakitangan pejabatnya secara rahsia.
Lapor Oddity Central, seorang pekerja dari Hebo Technology yang berpangkalan di wilayah Zhejiang mendedahkan perkara itu di laman media sosial baru-baru ini.
Pekerja itu yang dikenali sebagai Wang turut menganggap tindakan itu salah di sisi undang-undang dan tidak bermoral.
Wang mendakwa dia dan sekurang-kurangnya sembilan lagi kakitangan di pejabatnya dipantau menerusi kusyen pintar selama beberapa bulan.
Jelasnya, kusyen pintar itu merupakan hadiah dari pengurusan syarikat dan dikatakan bertujuan membantu mereka kekal sihat dengan memantau tahap kesihatan selain menawarkan nasihat kesihatan.
Menurut Wang, dia mendapat tahu mengenai kusyen pintar itu selepas seorang pengurus di jabatan sumber manusia menyoal keberadaannya di pejabat tersebut antara pukul 10 hingga 10.30 pagi pada suatu hari.
Selepas insiden itu, Wang menyedari bahawa satu-satunya cara untuk jabatan sumber manusia mengetahui tempoh masa secara tepat adalah menerusi kusyen pintar yang dihadiahkan kepada mereka.