JAKARTA: Sektor keselamatan pengangkutan udara Indonesia kembali menjadi perhatian dunia susulan nahas pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Kepulauan Seribu pada Sabtu lalu.
Lapor Reuters, kira-kira 697 orang terkorban dalam industri penerbangan Indonesia dalam tempoh satu dekad terakhir termasuk pesawat tentera dan peribadi.
Berdasarkan data dari Rangkaian Keselamatan Penerbangan, jumlah korban akibat nahas udara menjadikan Indonesia ‘unggul’ mengatasi Rusia, Iran dan Pakistan.
Nahas pesawat Sriwijaya Air berlaku selepas tragedi pesawat Lion Air terhempas pada Oktober 2018 dan kapal terbang AirAsia pada Disember 2014.
Sebagai sebuah negara kepulauan, Indonesia bergantung kepada pengangkutan udara dan krisis keselamatannya menjadi cabaran kepada banyak syarikat penerbangan domestik di negara ini.
Dari 2007 hingga 2018, Kesatuan Eropah (EU) memasukkan syarikat penerbangan Indonesia ke dalam senarai hitam susulan banyak nahas yang berlaku.
Selain itu, Amerika Syarikat (AS) meletakkan penilaian keselamatan syarikat penerbangan Indonesia ke tahap 2 iaitu tidak menepati piawaian antara 2007 dan 2016.