BRUSSELS: Ketegangan antara Kesatuan Eropah dengan syarikat pengeluar vaksin Covid-19, Pfizer dan AstraZeneca semakin memuncak apabila kedua-dua pihak dilihat tidak mahu mengalah.
Menurut sumber, blok Eropah dijangka hanya menerima kira-kira suku daripada 100 juta dos vaksin yang ditempah dari Astrazeneca menjelang penghujung bulan Mac ini.
Keadaan itu secara tidak langsung memperjudiakan jutaan nyawa yang berharap mereka akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat.
Penghantaran vaksin keluaran Pfizer juga semakin perlahan dan syarikat itu menegaskan pihaknya giat menyusun semua sistem pengagihan vaksin agar semua pihak dapat menerima bekalan tepat pada masa.
Terpaksa batal program vaksin
Berikutan bekalan vaksin yang tidak mencukupi, Madrid menjadi yang pertama membatalkan program vaksinasi bagi suntikan dos pertama selama dua minggu.
Beberapa hospital di Paris juga memaklumkan mereka berdepan dengan situasi sama dan terpaksa menangguhkan banyak temu janji bagi memastikan penduduk yang sudah menerima suntikan dos pertama diberi suntikan dos kedua.
Portugal pula memberi amaran bahawa negara itu mungkin menangguhkan program vaksinasinya sehingga dua bulan daripada jadual asal.
Harap kemelut dapat diatasi
Presiden Majlis Eropah, Charles Michel berkata, beliau berharap kelewatan penghantaran vaksin dapat diatasi segera dan jika tidak, beliau menyokong penggunaan undang-undang bagi memastikan bekalan mencukupi untuk keperluan semua pihak.
AstraZeneca, BioNTech dan Pfizer mempunyai tapak pengeluaran di EU, manakala Moderna menyiapkan semua bekalan vaksin untuk pelbagai negara kecuali Amerika Syarikat (AS) di Sepanyol biarpun vaksin itu dihasilkan di Switzerland yang bukannya negara anggota.
Selain itu, Brussels ingin tahu sekiranya syarikat farmaseutikal mengeksport vaksin atau komponen yang diperlukan untuk hasilkan vaksin dari tapak pengeluaran di EU untuk memenuhi keperluan bekalan di tempat lain.
Secara rasminya, Brussels menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai niat untuk melarang eksport vaksin pada masa akan datang.
Situasi itu menyaksikan pasukan penyiasat Belgium melawat pusat pengeluaran AstraZeneca di negara itu pada minggu ini bagi melihat sendiri jika benar kelewatan pengagihan vaksin keluaran syarikat itu adalah disebabkan masalah pengeluaran.
Brussels juga mempersoalkan jika vaksin yang dikeluarkan AstraZeneca dihasilkan di Eu dan kemudiannya diedarkan ke UK, selain mendesak supaya mengasingkan penghasilan vaksin agar bekalan ke Eropah tidak terjejas.
Namun, secara faktanya, UK menandatangani kontrak vaksin dengan AsraZeneca tiga bulan lebih awal berbanding EU dan isu siapa yang perlu dapat bekalan vaksin tidak timbul.
UK tidak mahu masuk campur
Dalam pada itu, UK berusaha untuk tidak terlibat dalam pertikaian yang berlaku antara AstraZeneca dengan EU.
UK juga mendapat jaminan daripada barisan Kabinetnya bahawa bekalan vaksin untuk negara itu tidak akan terjejas.
Menteri Pejabat Kabinet UK, Michael Gove berkata, pihaknya bersedia berunding dengan EU untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.
Silap Eropah sendiri?
Di sebalik pertikaian yang berlaku, ada juga pihak menunding jari semua masalah yang berlaku adalah berpunca daripada blok Eropah sendiri.
Brussels berharap skim pengagihan vaksin Covid-19 di EU boleh dijadikan sebagai tanda solidariti dan kekuatan Eropah.
Namun, isu yang berlaku ketika ini dilihat hanya menyebabkan negara-negara Eropah saling berbalah antara satu sama lain.
Selain itu, EU juga dituduh tidak melabur secukupnya dalam meluaskan kapasiti pengeluaran biarpun Jerman, Belanda dan Perancis menjadi antara negara pengeluar vaksin utama.
Biarpun EU berjaya menyelesaikan isu kontrak vaksin sebagai satu blok, memainkan peranan penting dalam kajian dan pembangunan vaksin Covid-19, blok itu dilihat masih gagal mencapai ‘kedaulatan vaksin’. – AGENSI