Keluarga Joe Biden ke `White House' - Utusan Malaysia

Keluarga Joe Biden ke `White House’

JOE BIDEN bersama ahli keluarganya meraikan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 di Wilmington, Delaware pada 7 November tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH tercipta apabila keluarga Joe Biden secara rasmi menjadi `keluarga pertama Amerika Syarikat (AS)’ pada majlis pelantikan Presiden ke-46 yang berlangsung di Capitol, Washington. 

Biden, 78, mengangkat sumpah jawatan nombor satu negara dengan kawalan keselamatan paling ketat bagi memastikan situasi terkawal dan lancar sepanjang upacara rasmi peralihan kuasa bersejarah ini. 

Proses mengambil alih pentadbiran negara juga bakal menyaksikan keluarga pertama AS itu berpindah ke kediaman rasmi Presiden yang cukup popular dengan panggilan White House. 

Timbul juga persoalan adakah keluarga Biden akan dibayangi keluarga Donald Trump terutamanya isterinya, Melania dan anak perempuan, Ivanka yang sering mendapat liputan media secara meluas selama ini. 

Meskipun tidak setanding populariti dimiliki keluarga Trump yang amat berpengaruh, apatah lagi memiliki empayar perniagaan oleh mereka namun realitinya sikap rendah diri yang sering ditunjukkan Biden dan keluarganya menambat hati penduduk AS.   

Dr. Jill Biden, 69, isteri presiden AS pertama yang mempunyai gelaran doktor, merupakan seorang pendidik sepanjang masa.

Malah, Jill sebelum ini juga memutuskan untuk tetap meneruskan kariernya dalam bidang pendidikan walaupun Biden menjadi Presiden AS.

Sepanjang berkhidmat sebagai wanita kedua AS, Jill aktif dalam membawa pelbagai inisiatif dan kempen termasuk program kesedaran kepentingan kolej komuniti.

Melania, 50, pula banyak menghabiskan masa empat tahunnya di White House dengan berdiam diri, malah bekas supermodel itu juga dihimpit pelbagai kontroversi membabitkan pilihan fesyen pakaian. 

Anak perempuan Trump dan Biden pula, meskipun kedua-duanya berpelajaran tinggi dan memiliki paras rupa menawan namun mereka menjalani kehidupan yang amat berbeza.    

Ashley, 39, lebih gemar menjalani kehidupan sederhana dan kerap melakukan kerja-kerja kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.  

Ashley juga mengasaskan jenama pakaian bagi mengumpul dana untuk Yayasan Komuniti Delware, malah logo jenama itu direka sebagai `tribute’ kepada abang tirinya, Beau Biden yang meninggal dunia akibat kanser pada 2015.   

Bagi Ivanka, 39, pula, selain menjadi perhatian media sejak kecil lagi, beliau merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang memiliki jenama pakaian, beg tangan, kasut tersendiri dan penasihat kepada ayahnya.

Kehadiran Ivanka menemani bapanya di kebanyakan tugas rasmi mencetuskan kritikan dan persoalan mengenai peranannya dalam White House.  

Anak lelaki Biden, Hunter, 50, merupakan seorang peguam yang mempunyai firma perundingan dan pelaburan selain bekerja di ekuiti swasta serta berkhidmat di pelbagai organisasi.

Dalam pada itu, satu tinjauan dijalankan oleh Yahoo News dan YouGov terhadap 1,500 pengundi berdaftar AS antara 23 hingga 25 Oktober tahun lalu, mendapati rata-rata golongan itu menganggap keluarga Trump `lebih korup’ berbanding keluarga Biden.

Sebanyak 56 peratus pengundi AS percaya keluarga Trump terlibat dalam aktiviti penyelewengan manakala 41 peratus lagi pengundi berpandangan sama terhadap keluarga Biden.

Apapun sejarah pasti tercipta buat rakyat AS yang mahu Biden menjawat jawatan Presiden mengemudi negara itu apatah lagi ketika pandemik Covid-19 sedang menggila. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya