JAKARTA: Keluarga pembantu juruterbang pesawat Sriwijaya Air, Diego Mamahit yakin bahawa pemuda itu masih hidup kerana sudah diajar untuk berdepan dengan sebarang situasi sukar ketika mengendalikan kapal terbang.
Lapor Tribunnews, abang Diego, Christ Mamahit berkata, adiknya itu tidak akan terbang jika pesawat yang bakal dikendalikannya mengalami kerosakan.
“Kami yakin Diego masih hidup dan selamat. Tuhan baik, Diego juga orang baik, kami percaya dia selamat.
“Saya sentiasa pegang kata-kata Diego yang menegaskan bahawa dia tidak akan melakukan penerbangan jika pesawat alami kerosakan,” katanya.
Dalam pada itu, juruterbang pesawat tersebut, Afwan disifatkan oleh rakan-rakannya sebagai baik dan peramah.
“Orangnya baik dan ramah sesama jiran tetangga. Afwan juga rajin ke surau untuk menunaikan solat berjemaah bersama penduduk setempat di kawasan perumahannya,” kata jirannya, Agus.
Keluarga Afwan ketika ini belum bersedia bertemu dengan media biarpun kediaman mereka menjadi tumpuan banyak pihak.