THE HAGUE: Kira-kira 160,000 kad pendaftaran milik masyarakat Yahudi Belanda dan penduduk minoriti lain tertindas yang kebanyakannya dihantar ke kem kematian Nazi, bakal dipamerkan di sebuah muzium di negara ini.
Kad pendaftaran itu akan dipamerkan buat pertama kali di Muzium Holocaust di Amsterdam selepas diserahkan oleh persatuan Palang Merah.
Lapor The Guardian, kad tersebut merangkumi beberapa maklumat seperti nama, alamat, tarikh lahir, pekerjaan, status perkahwinan, bilangan ahli keluarga dan juga tarikh individu dipindahkan ke kem tahanan yang ditulis dengan menggunakan pensel merah.
Jelas laporan itu, kad pendaftaran berkenaan disimpan oleh persatuan Palang Merah dan digunakan untuk mencari orang yang hilang.
Masyarakat Yahudi di Belanda dipaksa oleh penjajah Jerman untuk mendaftarkan maklumat mereka sejak tahun 1941.
Koleksi ini dikatakan merupakan rekod paling komprehensif yang masih wujud selepas Perang Dunia Kedua.
Palang Merah Belanda telah menyerahkan pemilikan rekod berkenaan kepada organisasi Jewish Cultural Quarter di Amsterdam termasuk Muzium Holocaust Belanda.
Pengarah Jewish Cultural Quarter, Emile Schrijver berkata, pihaknya menyifatkan rekod tersebut amat penting kerana dapat menunjukkan bahan memori masyarakat Yahudi yang telah dibunuh.
“Pemindahan arkib itu adalah sebahagian daripada proses persatuan Palang Merah, ia agak lewat tetapi kami menyambut baik perkara itu,” katanya.
Angka kematian dalam kalangan masyarakat Yahudi di Belanda lebih tinggi berbanding mana-mana kawasan di Eropah Barat yang dijajah.