WASHINGTON: Pergerakan kumpulan berhaluan kanan di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan masih tidak berpuas hati dengan Donald Trump dan Joe Biden.
Hal ini dapat dilihat menerusi sejumlah hantaran secara dalam talian oleh kebanyakan kumpulan itu yang melahirkan rasa kecewa dan marah selepas ‘cubaan mereka untuk merampas Kongres di bangunan Capitol’ pada 6 Januari lalu menemui kegagalan, selain Biden berjaya mengangkat sumpah sebagai presiden baharu negara ini.
Para pengikut pergerakan teori konspirasi QAnon didakwa paling terkesan dengan dua isu tersebut terutamanya selepas ‘ramalan’ mereka bahawa kekacauan dan kerosakan akan berlaku apabila Biden menjadi Presiden AS tidak berlaku.
Beberapa pergerakan haluan kanan lain seperti Proud Boys dan Oath Keepers juga dilaporkan terjejas sejak insiden rusuhan dan serbuan di Capitol apabila ramai ahli kumpulan tersebut ditahan polis bagi membantu siasatan.
Kumpulan pakar kegiatan keganasan dan pelampau menyatakan kebanyakan kumpulan haluan kanan berasa ‘terpukul’ selepas Trump tidak lagi berkuasa.
Namun, itu tidak bermakna mereka sudah lenyap dan mengundurkan diri kerana golongan pakar berpendapat kumpulan haluan kanan yang ada di AS kini lebih bermotivasi untuk melancarkan serangan yang lebih ganas pada masa terdekat.
Wartawan penyiasatan di Pusat Undang-Undang Kemiskinan Selatan, Michael Edison Hayden berkata, retorik yang dibangkitkan oleh kumpulan haluan kanan masih berbisa namun masih belum membiasakan diri dengan pentadbiran baharu pimpinan Biden.
Pengarah Penyelidikan dan Polisi di Kumpulan Soufan, Colin P. Clarke pula menyatakan tenaga dan momentum yang dicapai oleh pergerakan haluan kanan ketika ini semakin kuat berbanding sebelum ini.
Jelas beliau, banyak pihak beranggapan penyingkiran Trump dan elemen berkaitan pelampau dari media sosial termasuk Twitter dan Facebook dapat meredakan keadaan.
Sebaliknya, keadaan itu diibaratkan seperti ‘mencurah minyak ke dalam api’ dan memberi semangat kepada kumpulan tersebut untuk lebih aktif dan ke depan.
“Kumpulan haluan kanan tahu apa yang mereka perjuangkan dan lebih bersatu padu untuk mencapai misi yang dirancang,” kata Clarke.
Ketika ini, Proud Boys dan QAnon menggunakan Telegram sebagai medium baharu untuk meneruskan ideologi dan perjuangan mereka.
“Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka (kumpulan haluan kanan) masih ada dan bersedia untuk melancarkan ‘serangan’ pada bila-bila masa,” ujar Hayden.
QAnon dan Trump
Kumpulan QAnon ditubuhkan pada penghujung 2017 dengan memperkenalkan kenyataan kriptik dari individu yang dikenali sebagai ‘Q’.
Tiada pihak tahu siapa Q namun kebanyakan kenyataan yang dikeluarkannya mempengaruhi penyokong Trump untuk percaya bahawa terdapat plot tersembunyi untuk menjatuhkan bekas presiden tersebut.
Selain itu, ciapan Trump dalam Twitter sebelum ini serta tunjuk perasaan yang menyokong bekas presiden itu sering menjadi tumpuan oleh para pengikut Q.
Kumpulan haluan kanan juga didakwa memainkan peranan penting dalam mewar-warkan kempen penolakan kekalahan Trump dalam pilihan raya presiden lalu sehingga tercetusnya rusuhan di Capitol awal bulan ini.
Namun, majlis angkat sumpah Biden sebagai Presiden AS yang baharu dan pengunduran Trump dari White House dilihat ‘menutup pintu’ yang cuba dibuka boleh kumpulan berhaluan kanan.
Malahan, ramai dalam kalangan mereka melahirkan rasa marah terhadap Trump kerana bekas presiden itu tidak cuba membela atau membantu ahli kumpulan haluan kanan yang ditahan oleh polis berhubung insiden Capitol.
Baru-baru ini, Ron Watkins yang merupakan pentadbir laman web 8Kun yang merupakan pangkalan bagi QAnon mengumumkan untuk berhenti daripada pergerakan tersebut.
Watkins yang dipercayai adalah Q sebenar juga dilaporkan memadam semua arkib QAnon 8Kun.
“Kami sudah memberikan segalanya. Kini kami perlu teruskan hidup seperti biasa dan sebaik mungkin.
“Presiden baharu sudah mengangkat sumpah dan menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati Perlembagaan,” jelasnya dalam Telegram. – AFP