MEXICO CITY: Seorang isteri yang cemburu bertindak menyerang suaminya dengan sebilah pisau kerana menyangka lelaki itu berlaku curang selepas melihat beberapa gambarnya bersama wanita muda.
Isteri itu kemudian menyedari bahawa gambar wanita muda yang disimpan oleh suaminya di telefon bimbit sebenarnya adalah dirinya sendiri.
Lapor Oddity Central, beberapa minggu lalu, penduduk dari kawasan kejiranan Urbi Villa di Cajeme, Mexico menghubungi pihak polis untuk melaporkan mengenai pergaduhan yang berlaku melibatkan jiran mereka.
Wanita yang dikenali sebagai Leonora R. menikam Juan R. dengan pisau kerana berasa cemburu melihat gambar mesra suaminya bersama wanita lain.
Leonora dilaporkan menemui gambar tersebut ketika memeriksa telefon bimbit suaminya dan bertindak menikam serta melemparkan kata-kata hinaan terhadap Juan tanpa memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan perkara sebenar.
Berdasarkan keterangan Juan, dia berjaya melarikan diri dan menjelaskan gambar yang dijumpai oleh isterinya adalah gambar lama mereka berdua ketika bercinta yang kemudian dimasukkan ke telefon pintarnya.
Wanita dalam gambar berkenaan kelihatan lebih muda, kurus dan memakai mekap sehingga Leonora gagal mengenali diri sendiri.
Leonora telah ditahan oleh polis dan kini menghadapi tuduhan melakukan keganasan rumah tangga dan bakal berdepan hukuman penjara jika disabit kesalahan.