BAITULMUQADDIS: Israel bukan sebuah negara mengamalkan prinsip demokrasi sebaliknya `rejim apartheid’ yang menegakkan konsep ketuanan Yahudi di seluruh kawasan yang dikuasainya.
Lapor The Guardian, dakwaan tersebut disuarakan oleh sebuah kumpulan hak asasi terkemuka iaitu B’Tselem.
“Salah satu prinsip terletak pada asas polisi Israel adalah mengukuhkan dan meluaskan lagi ketuanan sebuah kumpulan (Yahudi) terhadap kumpulan lain (Palestin),” jelas kumpulan tersebut yang aktif mendokumentasi pelanggaran hak asasi manusia.
Menurut B’Tselem, pihaknya menolak dakwaan dominan kononnya Israel menjalankan dua sistem pemerintahan berbeza yang dikendalikan secara serentak terhadap penduduk Palestin di wilayah yang dijajah.
“Israel tidak mengamalkan demokrasi yang melakukan penjajahan sementara. Sebaliknya, rejim itu menguasai keseluruhan Palestin menerusi dasar apartheid,” kata Pengarah Eksekutif B’Tselem, Hagai El-Ad.
Beberapa kawasan itu termasuk Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza.
Laporan B’Tselem juga mendakwa Israel mewujudkan sebuah sistem di seluruh wilayah yang mana rakyat Yahudi memiliki hak penuh.
Laporan itu turut menjelaskan penduduk Palestin terbahagi kepada empat peringkat dengan pelbagai tahap hak berdasarkan kawasan tempat tinggal mereka namun tetap berada di bawah orang Yahudi.
Sementara itu, seorang jurucakap Kedutaan Israel di United Kingdom (UK), Ohad Zemet menafikan laporan itu yang disifatkannya sebagai alat propaganda.