JAKARTA: Indonesia telah menahan sebuah kapal tangki Iran dan Panama yang disyaki memindahkan minyak secara haram di perairan Asia Tenggara.
Menurut pihak berkuasa negara itu, kapal tangki minyak mentah iaitu MT Horse yang mengibarkan bendera Iran dan MT Frea (bendera Panama) dikesan dan ditahan di perairan wilayah Kalimantan, semalam.
Jelas pihak berkuasa, kapal tersebut ditahan selepas anak kapal gagal memberi sebarang respon terhadap panggilan radio yang dilakukan.
Jurucakap Agensi Keselamatan Maritim Indonesia, Wisnu Pramadita berkata, anak kapal tersebut disyaki telah melakukan beberapa pelanggaran termasuk gagal mempamerkan bendera kebangsaan kapal, mematikan sistem pengenalannya untuk mengelakkan pengesanan dan memindahkan minyak secara haram.
“Kami telah menahan dua kapal tangki asing semalam dan siasatan sedang dijalankan.
“Ketika ini, semua anak kapal itu sedang disiasat,” katanya.
Iran sebelum ini didakwa cuba menyembunyikan penjualan minyak untuk mengelakkan sekatan Amerika Syarikat (AS).
Pada Oktober tahun lalu, pentadbiran AS dibawah pimpinan Donald Trump mengenakan sekatan baharu terhadap sektor minyak Iran kerana penjualan bekalan itu kepada beberapa negara termasuk Syria dan Venezuela. – AFP