JAKARTA: Sekurang-kurangnya 34 orang terkorban dan ratusan lain cedera selepas gempa bumi sekuat 6.2 skala Richter melanda Sulawesi Barat, awal pagi semalam.
Seramai 2,000 penduduk berpindah ke tempat yang lebih selamat selepas beberapa bangunan dilaporkan musnah dan rebah ke bumi.
Ketua Agensi Pencegahan Bencana (BNPB) Sulawesi, Ali Rahman mengesahkan jumlah korban itu dan tidak menolak angka korban akan terus meningkat dalam waktu terdekat.
“Maklumat terkini yang kami peroleh seramai 26 orang maut dan semuanya di bandar Mamuju.
“Angka itu boleh bertambah tetapi kami berharap ia tidak berlaku. Ramai yang mati tertimbus di bawah runtuhan bangunan” katanya.
Terdahulu, maklumat dalaman daripada BNPB menunjukkan seramai empat orang mati dan 637 yang lain mengalami kecederaan di Majene, sementara tiga kematian lain berlaku dan 24 cedera di Mamuju, ibu negara wilayah Sulawesi Barat.
Ribuan penduduk menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah masing-masing apabila gempa berlaku pada pukul 1 pagi waktu tempatan.
Gempa itu menyebabkan sekurang-kurangnya 60 buah rumah mengalami kerosakan.
Gegaran kuat itu dapat dirasakan selama tujuh saat namun, tidak mencetuskan amaran tsunami.
Video dalam media sosial menunjukkan penduduk yang panik lari bertempiaran ke kawasan tinggi bagi menyelamatkan diri, manakala terdapat kanak-kanak terperangkap di bawah runtuhan dengan orang ramai cuba membantu dengan mengalihkan sisa runtuhan menggunakan tangan.
Responden di Mamuju, Sudirman Samual memberitahu Reuters, beberapa bangunan mengalami kerosakan yang teruk termasuk dua hotel, pejabat Gabenor Sulawesi Barat dan pasar raya.
Katanya, jalan utama menuju ke Mamuju juga terputus akibat jambatan runtuh.
Menurut pihak berkuasa, bangunan hospital di daerah itu juga runtuh akibat gempa berkenaan.
“Bangunan hospital rata menyembah bumi selepas gempa melanda. Terdapat beberapa pesakit dan petugas yang terperangkap di bawah runtuhan dan kami berusaha menyelamatkan mereka,” kata anggota penyelamat, Arianto.
Selain itu, lapan sekeluarga turut terperangkap di bawah runtuhan selepas rumah mereka ranap dan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dengan kadar segera.
BNPB dalam kenyataan memaklumkan, beberapa jam sebelum gempa itu melanda, satu lagi gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter melanda daerah tersebut.
Gegaran gempa bumi pertama itu dikesan berlaku kira-kira empat kilometer dari barat laut Majene dengan kedalaman 10 kilometer.
Pada 2018, ribuan penduduk terkorban apabila gempa sekuat 6.2 Richter dan tsunami melanda bandar Palu, Sulawesi. – AFP/REUTERS