LONDON: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun dari Britain menjadi individu pertama di dunia untuk menerima suntikan vaksin keluaran Oxford, di bawah program vaksinasi yang dilaksanakan di negara itu.
Lapor The Sun, Brian Pinker, seorang pesakit dialisis yang mengaku dilahirkan dan dibesarkan di Oxford, menerima suntikan vaksin itu di Universiti Oxford kira-kira pukul 7.30 pagi waktu tempatan.
Pesara pengurus penyelenggaraan itu berkata, dia berasa sangat gembira dan bangga untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan di Oxford.
“Jururawat, doktor dan semua kakitangan telah melakukan kerja terbaik. Kini, saya berharap dapat meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-48 bersama isteri saya pada akhir tahun ini,” katanya.
Ketua Jururawat Yayasan Amanah NHS Hospital Universiti Oxford yang menguruskan kes Pinker, Sam Foster berkata, dia berasa sangat istimewa kerana dapat memberi suntikan vaksin Covid-19 Oxford yang pertama di Hospital Churchill, Oxford.
Selain itu, Pengarah Kumpulan Vaksin Oxford, Profesor Andrew Pollard juga merupakan antara individu pertama yang menerima suntikan vaksin selepas diluluskan untuk penggunaan di negara tersebut.
Pollard menyifatkan peristiwa itu amat membanggakan buat dirinya kerana akhirnya dapat menerima suntikan vaksin Covid-19 yang sebenar.
“Pasukan Oxford Universiti dan AstraZeneca telah bekerja keras untuk menghasilkan vaksin ini untuk United Kingdom (UK) dan seluruh dunia.
“Sebagai seorang pediatrik yang pakar dalam jangkitan, saya tahu betapa pentingnya vaksin ini kepada pekerja perubatan dan kumpulan penting lain untuk mendapat perlindungan dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock memuji penghasilan vaksin Covid-19 itu dengan menyifatkannya sebagai kisah kejayaan besar untuk Britain.