Hyun Mi akhirnya dapat `pulang' ke Korea Utara - Utusan Malaysia

Hyun Mi akhirnya dapat `pulang’ ke Korea Utara

REKAAN semula rumah Hyun Mi di Pyongyang. - KEMENTERIAN PENYATUAN KOREA SELATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Seorang rakyat Korea Utara yang melarikan diri dari negara itu ketika berusia 13 tahun akhirnya dapat `pulang’ ke kampung halamannya menerusi teknologi realiti maya (RV).

Lapor CNN, Hyun Mi bersama ibu bapa dan lima adik-beradiknya ketika itu melarikan diri daripada peperangan yang berlaku di Semenanjung Korea.

“Saya ingat hanya untuk seminggu tetapi tidak menyangka sudah menjadi 70 tahun,” kata Mi yang kini berusia 83 tahun.

Projek teknologi RV hasil inisiatif kerajaan Korea Selatan, dengan harapan dapat mengubati kerinduan para pelarian Korea Utara yang semakin lanjut usia.

Mi yang merupakan seorang penyanyi terkenal, menjadi pelarian Korea Utara pertama untuk melakukan lawatan maya ke kampung halamannya menggunakan teknologi berkenaan.   

Beribu-ribu penduduk seperti Mi terpaksa melarikan diri dari Korea Utara akibat Perang Korea pada tahun 1950an, merentasi sempadan ke China dan Rusia. 

Malah, kebanyakan pelarian itu terpaksa berlindung di Korea Selatan.

Menurut Mi, ramai wanita Korea Utara memutuskan untuk kekal berada di negaranya bagi menjaga rumah mereka sementara golongan lelaki dan anak-anak pula melarikan diri kerana bimbang dibunuh oleh tentera China. 

Jelas Mi, keluarganya ketika itu juga meninggalkan dua adik perempuan bongsu yang berusia 6 tahun dan 9 tahun dalam jagaan nenek mereka di negara tersebut.

“Kami merancang untuk kembali semula tetapi selepas perang tamat dengan gencatan senjata pada 1952, kedua-dua negara mendirikan sempadan yang memisahkan mereka sekali gus menghalang sesiapa merentasinya,” katanya. 

Walaupun kedua negara itu membenarkan sanak saudara terpilih bertemu semula untuk masa singkat, kebanyakan ahli keluarga yang berpisah semasa peperangan tidak pernah dapat berjumpa dengan orang kesayangan mereka.     

Pertemuan semula dikendalikan menerusi sitem undian berdasarkan umur dan kekuatan ikatan keluarga, namun ia dibatalkan selepas hubungan kedua-dua negara bertambah buruk. 

Pertubuhan Palang Merah dengan kerjasama syarikat Tekton Space yang berpangkalan di Seoul, membangunkan projek RV bagi memberi pengalaman VR kepada pelarian Korea Utara.

“Terdapat ramai pelarian di Korea dan mereka semua rindu untuk mengunjungi kampung halaman namun tidak dapat berbuat demikian kerana situasi semasa,” kata Ketua Eksekutif Tekton Space, Ahn Hyo-jin.

Hyo-jin mengakui bukan mudah untuk mereka semula kawasan di Korea Utara.

Dalam pada itu, Mi berkata, meskipun rekaan semula Pyongyang tidak seperti diingatinya, namun ia agak hampir sama. 

Katanya, sejak mengimbas kembali suasana halaman kampungnya termasuk tempat tinggal yang dilitupi dengan salji, dia merindui kedua ibu bapanya yang kini sudah tiada.      

“Saya dapat merasai wajah ibu, ayah dan adik-beradik berada di hadapan saya.

“Saya juga teringat betapa sesak rumah saya dengan lapan adik-beradik meluangkan masa bersama untuk bermain, makan, mandi di sungai dan ke tempat lain yang menyeronokkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya