JAKARTA: Komander Pasukan Bertindak Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Laksamana Yayan Sofyan menyifatkan keadaan bangkai pesawat Sriwijaya Air seperti ‘kepingan keropok yang dihancurkan’.
Menurutnya, nahas pesawat kali ini berbeza berbanding insiden yang menimpa pesawat AirAsia pada 2015 kerana ketika itu, sebahagian bangkai pesawat dapat dibawa naik dari dasar laut.
Malahan, masih ada jasad korban yang ditemukan terikat pada kerusi penumpang.
“Situasi yang kami alami ketika ini sangat berbeza apabila keadaan pesawat serta penumpangnya hancur seperti kepingan keropok yang dipecahkan.
“Sehingga kini, pasukan penyelamat masih belum menemukan serpihan bangkai pesawat yang besar seperti pesawat AirAsia sebelum ini,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa nahas Sriwijaya lebih dahsyat sehingga proses mencari kotak hitam berdepan kesukaran.