JAKARTA: Siapa sangka memiliki berat badan 104 kilogram (kg) mampu melakukan gerakan ‘Salto’ atau balik kuang sehingga meraih jutaan tontonan dalam laman Instagram dan TikTok.
Lapor Tribunnews, individu yang dimaksudkan ialah Gaga Adi Lesmana Putra atau lebih mesra disapa Angga yang kerap membuat gerakan atau bentuk latihan berupa gerakan berguling di udara.
Angga yang berasal dari Pekan Baru itu kerap memuat naik video aksinya menerusi akaun rasmi Instagram miliknya @anggalof.
Menurutnya, dia mahir melakukan aksi sedemikian kerana meminati hobi sukan ekstrem parkour sejak 2013 dan pernah menyertai komuniti aksi lasak itu.
“Dari dahulu memang saya meminati hobi parkour dan menguasai banyak gerakan seperti Salto belakang, depan dan sisi.
“Saya suka makan dan semakin lama badan semakin gendut, tetapi ternyata masih boleh melakukan aksi itu,” katanya.
Namun, isterinya sering bimbang jika dia mengalami kecederaan akibat melakukan aksi tersebut.
“Isteri saya berasa takut kerana risau cedera, namun, sejak saya melakukan aksi itu tidak pernah mengalami kecederaan serius,” katanya.