LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pada Isnin memerintahkan negara itu akan melaksanakan perintah berkurung bagi membendung lonjakan kes Covid-19 yang mengancam sebahagian sistem kesihatan sebelum program vaksin dilaksanakan kepada orang ramai.
Perintah berkurung kepada 56 juta rakyatnya dilaksanakan selama enam minggu bermula esok (Rabu) sehingga pertengahan Februari.
Pengumuman itu dibuat selepas beberapa jam Kerajaan Britain mengumumkan kejayaan menjadi negara pertama mengedarkan vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford dan AstraZeneca.
Johnson berkata, virus Covid-19 dalam varian baharu serta lebih mudah berjangkit yang pertama kali dikenal pasti di United Kingdom malah merebak di banyak negeri dengan pantas memerlukan tindakan segera untuk membendungnya.
“Seperti saya beritahu malam ini, hospital kita berada di bawah tekanan akibat Covid-19 berbanding sebelum ini sejak pandemik bermula.
“Kebanyakan negara berada di bawah kawalan ketat, ia jelas kita perlu lakukan lebih banyak lagi untuk mengawal varian baharu ini.
“Kita mesti melaksanakan perintah berkurung yang mencukupi untuk membendung varian ini. Ini bermakna, pihak kerajaan sekali lagi mengarahkan anda untuk kekal berada di rumah,” katanya.
Kedai barangan bukan keperluan dan kemudahan hospitaliti perlu ditutup, sementara sekolah rendah dan menengah akan ditutup bermula Selasa bagi semua murid kecuali murid gelandangan serta ibu bapa yang merupakan petugas barisan hadapan.
Menurut beliau, perintah itu bermakna semua peperiksaan tidak dibenarkan diadakan sekali gus menandakan tahun akademik kedua berturut-turut semasa pandemik berlaku mengganggu sistem pendidikan serta rancangan masa depan murid.
Beliau malah memaklumkan sekiranya pengedaran vaksin berjalan seperti yang dirancang dan langkah-langkah penutupan seperti yang diharapkan, berkemungkinan perintah berkurung akan ditamatkan pada pertengahan Februari.
Namun begitu, beliau meminta orang ramai berhati-hati mengenai jadual waktu dan meminta semua penduduk mematuhi peraturan ditetapkan.
Ekonomi Britain mengalami kemerosotan hampir 20 peratus bagi tempoh April hingga Jun tahun lalu ketika perniagaan ditutup semasa perintah berkurung kali pertama dilaksanakan.
Perintah berkurung seperti diumumkan Johnson menyamai kaedah kawalan nasional pertama yang dilaksanakan pada Mac hingga Jun tahun lalu dan berlarutan sehingga November. -REUTERS/AGENSI