JAKARTA: Seorang lelaki berusia 23 tahun dari daerah Indragiri Hulu, wilayah Riau ditahan polis atas dakwaan merogol seorang pelajar berusia 15 tahun.
Lapor Kompas.com, mangsa dipercayai sudah dirogol suspek sebanyak beberapa kali sepanjang tahun lalu.
Jurucakap polis, Aipda Misran berkata, kali terakhir suspek merogol mangsa adalah pada 10 Januari lalu kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.
Apa yang lebih menyedihkan, Aipda memberitahu mangsa dirogol ketika dia masuk ke dalam hutan bagi mencari isyarat internet untuk belajar secara dalam talian.
“Ketika kejadian, mangsa berada di dalam hutan seorang diri untuk mencari isyarat internet bagi mengikut proses pembelajaran secara dalam talian,” katanya.
Perbuatan hina suspek terbongkar selepas ibu mangsa melihat lelaki itu memarahi anak gadisnya sehingga ingin mencederakannya.
Selepas ditanya, mangsa mengakui sudah beberapa kali dirogol suspek dan ibunya terus membuat laporan polis.