HANOI: Akibat gagal menjelaskan bayaran wang untuk tatu, seorang lelaki dihukum dengan dibalut plastik dan diikat pada sebuah pokok di Hanoi.
Lapor Oddity Central, beberapa gambar lelaki tanpa baju itu memakai sekeping kadbod bertulis ‘saya tidak mahu bayar wang tatu’ yang digantung pada lehernya menjadi tular di laman media sosial.
Pada mulanya, warganet menganggap gambar lelaki yang dimuat naik itu seakan jenaka atau aksi yang dilakukan oleh artis tatu untuk mendapat publisiti percuma namun didapati tiada watermark (cop) pada kesemua gambar tersebut.
Seorang lelaki dikenali sebagai NQT tampil mendakwa merupakan artis tatu yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Pemilik kedai tatu menerusi satu status di laman media sosial menjelaskan bahawa pelanggan lelaki itu hanya membayar sebahagian bil dan tidak pernah kembali lagi untuk melunaskan wang selebihnya.
Katanya, dia kemudian sempat menangkap lelaki tersebut dan mengenakan hukuman demikian sebagai pengajaran kepadanya.
“Kami memutuskan untuk menanggalkan pakaiannya, membalut badannya dengan plastik dan mengikatnya pada pokok sebagai hukuman,” jelasnya.
Pemilik kedai itu turut mendakwa, dia hanya menahan lelaki terbabit untuk seketika dan melepaskannya selepas itu kerana berasa kasihan.