JAKARTA: Ahli keluarga kesemua 62 penumpang pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Kepulauan Seribu memberikan penghormatan terakhir dengan menabur bunga di lokasi nahas.
Upacara penghormatan itu dilakukan ketika pihak berkuasa Indonesia menamatkan operasi pencarian serpihan bangkai pesawat dan korban nahas semalam.
Namun, perakam suara kokpit (CVR) masih belum ditemukan.
“Saya dapat ‘lihat’ wajah kakak saya ketika kami sekeluarga menabur bunga ke dalam laut. Damailah kakak di sana,” kata Heri Purnomo.
Kakak Heri, Agus Minardi terkorban bersama suaminya dalam nahas tersebut.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (KNKT) menyatakan masalah pada sistem kawalan enjin pesawat automatik (autothrottle) mungkin menjadi antara penyebab kepada kapal terbang itu terhempas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa belum dapat menentukan punca masalah tersebut dan siasatan teliti akan dilakukan dalam tempoh terdekat. – AFP