JAKARTA: Jumlah kes kematian petugas perubatan dan kesihatan akibat wabak Covid-19 di Indonesia adalah paling tinggi di Asia.
Lapor Kompas.com, Pengerusi Pasukan Mitigasi bagi Lembaga Eksekutif Persatuan Doktor Indonesia (IDI), Adib Khumaidi berkata, Indonesia juga berada dalam senarai lima negara yang mencatatkan kematian petugas perubatan dan kesihatan tertinggi di dunia.
“Sejak Mac hingga Disember tahun lalu, sebanyak 504 petugas perubatan dan kesihatan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.
“Jumlah itu merangkumi 237 doktor, 15 doktor gigi, 171 jururawat, 64 bidan, tujuh ahli farmasi dan 10 kakitangan makmal perubatan,” katanya.
Jelas Adib, doktor yang meninggal dunia membabitkan 131 pengamal perubatan am, 101 doktor pakar dan lima doktor residen yang kesemua berasal dari 25 wilayah IDI dan 102 cawangan IDI.
Menurut beliau, maklumat berkenaan diringkaskan menerusi data dari Persatuan Doktor Gigi Indonesia (PDGI), Persatuan Jururawat Nasional Indonesia (PPNI), Persatuan Bidan Indonesia (IBI), Persatuan Juruteknologi Makmal Perubatan Indonesia (PATELKI), Persatuan Ahli Farmasi Indonesia (IAI).
Adib memberitahu, Jawa Timur masih kekal sebagai wilayah yang merekodkan kadar kematian tenaga perubatan dan kesihatan yang tertinggi.
Katanya, jumlah membabitkan kes kematian 46 doktor, dua doktor gigi, 52 jururawat dan seorang kakitangan makmal perubatan.
Jelas beliau, ia disusuli dengan Jakarta yang melaporkan 37 kes kematian doktor, lima doktor gigi, 24 jururawat serta masing-masing seorang ahli farmasi dan seorang kakitangan makmal perubatan.
“Jawa Tengah pula merekodkan kes kematian 31 doktor, 24 jururawat dan tiga kakitangan makmal perubatan,” katanya.