BEIRUT: Kebanyakan doktor pakar penyakit berjangkit dan bakteria menjangkakan lonjakan bilangan individu dijangkiti wabak Covid-19 minggu depan di Lubnan dengan hospital yang sudah melebihi kapasiti sedia ada.
Lapor Arab News, bilangan makmal yang disahkan dijangkiti wabak sudah melebihi suku juta rakyat negara itu semalam.
Dalam 17 hari pertama bagi tahun ini, sebanyak 67,655 kes baharu direkodkan dan tempoh perintah kawalan pergerakan dijangka disambung bagi 10 hari lagi.
Ketua Rangkaian Hospital Swasta, Suleiman Haroun berkata, kajian epidemiologi di Lubnan mencerminkan sebahagian daripada kenyataan kerana situasi sebenarnya akan menjadi lebih buruk.
“Semua katil bagi pesakit Covid-19 di hospital sudah penuh termasuk bahagian kecemasan sehingga menyebabkan berpuluh-puluh pesakit terpaksa berpindah dari satu hospital ke hosptal lain untuk mencari katil. Hospital sudah melebihi kapasiti sedia ada,” jelasnya.
Pakar Pulmonologi dan Penjagaan Rapi, Dr. Wael Jaroush berkata, dia tidak pernah melihat keadaan hospital seperti sekarang dan tidak menjangka akan melalui pengalaman seperti itu.
“Tiada bilik bagi pesakit di bahagian kecemasan. Mereka mati di rumah sendiri. Beberapa pesakit merayu untuk membeli mesin oksigen baharu atau terpakai.
“Harga bagi alat baharu biasanya dalam AS$700 (RM2,833) manakala, peralatan terpakai dalam AS$5,000 (RM20,242). Beberapa pesakit dipaksa membeli dalam matawang asing yang jauh lebih mahal,” katanya.
Menurut Jaroush, botol oksigen 10 liter dan lebih kecil kehabisan stok kerana mendapat permintaan tinggi sama ada untuk simpanan disebabkan kurangnya keyakinan di negara ini atau tidak terdapat di hospital.
“Sebagai doktor, pesakit memberitahu saya mereka menyimpan botol oksigen sejak dua bulan lalu, sebagai contoh dan meletakkan di rumah mereka seperti mereka lakukan untuk menyimpan ubat.
“Botol oksigen ini tidak bertahan lama. Pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai kekosongan katil di hospital diminta berada di rumah yang memerlukan 40 ke 50 liter oksigen. Apabila botol oksigen 10 liter kehabisan, pesakit boleh mati kerana jantung berhenti berdegup. Ini yang berlaku sekarang dan beberapa pesakit mati di rumah,” katanya.