CEO kasino, isteri sanggup menyamar demi vaksin - Utusan Malaysia

CEO kasino, isteri sanggup menyamar demi vaksin

ROD BAKER dan isterinya, Ekaterina didakwa menyamar menjadi pekerja motel hanya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan segera. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Seorang ketua pegawai eksekutif kasino di Kanada dan isterinya didakwa sanggup menyamar sebagai pekerja motel semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Lapor BBC, Ketua Pegawai Eksekutif Great Canadian Gaming Corp (GCGC), Rod Baker, 55, dan isterinya, Ekaterina, 32, rela melakukan perjalanan ke wilayah Yukon, sebuah kawasan terpencil di utara Kanada hanya untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

Wilayah Yukon yang menempatkan kebanyakan orang asli mempunyai kadar vaksinasi lebih cepat berbanding mana-mana kawasan di seluruh Kanada.

Jelas laporan tersebut, penyamaran pasangan itu bagaimanapun terbongkar pada minggu lalu setelah mereka meminta untuk dibawa ke lapangan terbang selepas mendapat suntikan vaksin di komuniti kecil Beaver Creek di sempadan negeri Alaska, Amerika Syarikat (AS).

“Saya amat marah dengan tingkah laku mementingkan diri ini.

“Malah, kami tidak pernah membayangkan seseorang individu sanggup melakukan perkara demikian untuk menipu,” kata Menteri Perkhidmatan Komuniti Yukon, John Streicker.

Tambah laporan itu, ketua pegawai eksekutif syarikat kasino yang bernilai hampir AS$2 bilion (RM8.1 bilion) itu akhirnya meletak jawatan selepas dia dan isterinya didakwa atas kesalahan menipu pihak berkuasa untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

GCGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Baker tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikatnya.

Jelas kenyataan itu, lembaga pengarah GCGC tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang bertentangan dengan nilai dan objektif syarikat.  

Dalam pada itu, lapor Fortune.com, jurucakap pejabat Kabinet wilayah Kanada, Matthew Cameron berkata, Baker dan Ekaterina didakwa kerana melanggar Akta Langkah-Langkah Kecemasan Sivil Yukon.

Katanya, pasangan itu tiba di Whitehorse, ibu kota Yukon dari Vancouver pada 19 Januari lalu dan melakukan perjalanan ke komuniti Beaver Creek, melanggar peraturan kuarantin wajib selama 14 hari.      

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya