Burung merpati didakwa penceroboh AS - Utusan Malaysia

Burung merpati didakwa penceroboh AS

BURUNG merpati yang diberi nama 'Joe' itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Seekor burung merpati lumba yang ditahan oleh pihak berkuasa Australia akan dimusnahkan kerana dibimbangi merupakan penceroboh dari Amerika Syarikat (AS), ketika pakar mendedahkan tanda kakinya berkemungkinan palsu.

Pada mulanya burung itu dipercayai terbang dari Alabama ke halaman belakang di Melbourne dengan perjalanan sejauh 14,500 kilometer (km).

Burung yang diberi nama ‘Joe’ itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Media Australia melaporkan seorang lelaki Melbourne, Kevin Chelli-Bird menemui burung merpati itu yang dinamakan sempena nama bakal Presiden AS, Joe Biden.

Ketika berita tersebar, para pegawai kuarantin melabelkan Joe sebagai ‘risiko biokeselamatan’ dan mencadangkan ia mungkin dihapuskan secara baik untuk mencegah sebarang kemungkinan penyakit.

Namun, ketika hukuman mati akan dilakukan pada Jumaat, peminat merpati meragui identiti Joe.

Jalur lumba gaya AS di sekitar kaki Joe didapati dijual dalam talian dan sering digunakan oleh pemilik tempatan.

Joe didapati bukan berketurunan AS seperti yang ditunjukkan oleh labelnya, tetapi adalah baka Turkish Tumbler tempatan.

“Mereka tidak dibesarkan untuk terbang jarak jauh, mereka dibiakkan untuk bermain tipu muslihat di udara. Jadi mereka seperti burung pertunjukan,” kata Lars Scott dari Pigeon Rescue Melbourne kepada AFP.

Scott mendakwa label itu adalah palsu dan disokong oleh Kesatuan Burung Merpati Perlumbaan AS,yang disiarkan dalam Facebook untuk menyelamatkan Joe.

Kesatuan itu mengatakan pemilik burung AS yang mempunyai kaitan dengan label tersebut menjelaskan Joe bukan miliknya.

Pegawai kuarantin berkata, pihaknya masih berusaha untuk mengenal pasti asal-usul Joe.

“Burung itu ditandakan dengan pengenalan identiti AS dan jabatan itu masih berusaha untuk menentukan kesahihannya,” kata jurucakap Jabatan Pertanian.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Australia, Michael McCormack meninggalkan peringatan tegas untuk Joe.

“Sekiranya Joe datang dengan cara yang tidak memenuhi langkah-langkah keselamatan biosekuriti kami yang ketat, Joe akan mengalami nasib buruk, sama ada terbang ke rumahnya kembali atau berdepan akibatnya,” katanya. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya