OHIO: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun ditinggalkan dalam kesejukan di tanah perkuburan bersama anjing peliharaannya dua hari sebelum perayaan Krismas.
Lapor Mirror, seorang wanita yang melaporkan kejadian menyedihkan itu berkata, kanak-kanak lelaki itu berusaha mengejar kereta yang meninggalkannya di Perkuburan Hope Memorial Gardens di Hinckley, Ohio, pada 23 Disember lalu.
Wanita terbabit kemudiannya menelefon polis dan kanak-kanak itu memberitahu namanya ialah Tony.
Polis kemudian membawa kanak-kanak itu dan anjingnya ke pusat pelindungan.
Ketika ditanya, kanak-kanak terbabit mengetahui nama pertama ibu dan bapanya namun tidak mengingati tempat tinggalnya.
Sehubungan itu, polis merayu orang ramai untuk mencari keluarganya.
Saudara-mara Tony yang melihat gambarnya dalam media tempatan kemudian menghubungi ayahnya yang memberikan kerjasama.
Menurut polis, budak lelaki itu sepatutnya berada dalam jagaan ibunya ketika ditinggalkan.
Polis Hinckley dalam kenyataan berkata, Tony kini berada dalam keadaan baik di rumah keluarga angkatnya di Medina County.