Britain akan laksanakan sekatan pergerakan lebih ketat  - Utusan Malaysia

Britain akan laksanakan sekatan pergerakan lebih ketat 

BORIS JOHNSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberi bayangan sekatan pergerakan yang lebih ketat mungkin dilaksanakan dalam masa terdekat berikutan kes Covid-19 semakin meningkat.

Kes Covid-19 di Britain berada pada tahap yang tinggi dan peningkatan dalam jumlah kes berkenaan didorong oleh penularan varian baharu virus itu di negara tersebut. 

Kerajaan telah membatalkan rancangan untuk membuka semula sekolah di London dan sekitar kawasannya namun kesatuan pengajar mahu penutupan yang lebih luas. 

Kebanyakan kawasan di England dikenakan sistem sekatan empat peringkat yang direka bagi menghentikan penularan virus dan melindungi sistem penjagaan kesihatan awam.   

Ketika ditanya mengenai kebimbangan bahawa sistem itu mungkin tidak mencukupi untuk mengawal virus tersebut, Johnson berkata, sekatan selepas ini akan menjadi lebih ketat.

“Sudah tentunya terdapat beberapa langkah lebih ketat yang harus dipertimbangkan… saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai apa yang akan dilakukan,” katanya dalam satu temubual dengan BBC.

Terdahulu, ketua pembangkang Parti Buruh, Keir Starmer menggesa Johnson melaksanakan sekatan baharu di England dalam tempoh 24 jam memandangkan penularan kes Covid-19 di negara itu kini tidak terkawal.

“Apa yang kami dapati adalah semakin lama kerajaan lambat dalam membuat keputusan, semakin teruk ia menjejaskan aspek kesihatan dan ekonomi,” katanya kepada pemberita.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon memaklumkan ahli Kabinetnya akan bertemu untuk membincangkan mengenai tindakan seterusnya untuk mengehadkan penularan jangkitan virus berkenaan.

Dalam pada itu, Johnson berkata, program vaksinasi melibatkan 530,000 dos vaksin keluaran AstraZeneza/Oxford yang diluluskan, akan mula diberikan kepada penduduk.

Beliau berharap kira-kira puluhan juta penduduk mendapat suntikan vaksin itu dalam tempoh tiga bulan akan datang. – REUTERS/AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN