SYDNEY: Pengurusan pandemik Covid-19 oleh Brazil dikelaskan sebagai paling teruk di dunia sementara New Zealand paling terbaik, berdasarkan kajian diterbitkan oleh sebuah badan pemikir Australia semalam.
Institut Lowy di Sydney mengkaji hampir 100 negara berdasarkan enam kriteria termasuk kes yang disahkan positif, kematian dan ujian percubaan.
“Secara kolektif, petunjuk ini memberitahu sama ada negara itu sangat bagus atau teruk dalam menguruskan pandemik Covid-19,” menurut laporan itu.
Selain New Zealand, Vietnam, Taiwan, Thailand, Cyprus, Rwanda, Iceland, Australia, Latvia dan Sri Lanka merupakan 10 negara berada dalam kedudukan teratas terbaik.
Di kedudukan tercorot dan paling teruk ialah Brazil pada kedudukan ke-98, diikuti rapat oleh Mexico, Colombia, Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Brazil merekodkan lebih 218,000 kematian akibat Covid-19 selepas AS.
Malah, kedua-dua negara itu juga merupakan populasi paling banyak di Amerika yang diketuai pemimpin kebangsaan dengan aktif mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan memperlekehkan pemakaian pelitup muka, menentang kawalan pergerakan dan dijangkiti virus itu sendiri.
Sementara itu, China yang merupakan punca penyebaran virus itu tidak termasuk dalam carta kerana badan pemikir menyifatkan negara itu kekurangan data secara terbuka terhadap ujian percubaan yang dilakukan.
Institut Lowy menjelaskan, tiada pemenang sebenar apabila merujuk sistem politik terbaik dalam menangani pandemik tersebut. – AFP