ADLINAHANI KHALIL
TINGGAL kira-kira dua minggu untuk Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyingkirkan Donald Trump yang kalah dalam pilihan raya presiden lalu.
Namun, perjalanan Biden untuk menjadi presiden negara ini bukanlah mudah seperti yang disangka biarpun beliau mencatat jumlah undian tinggi dalam pilihan raya presiden lepas.
Semuanya bermula apabila Trump tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau sudah tersungkur kali ini dan mengemukakan pelbagai tuntutan tidak masuk akal agar kedudukannya sebagai Presiden AS terus terjamin.
Banyak pihak juga sudah mula muak dengan permainan Trump yang disifatkan ‘kebudak-budakan’, namun pemimpin berusia 74 tahun itu tidak akan mengalah begitu sahaja selagi impiannya untuk terus bergelar presiden negara ini tidak tercapai.
Kemuncaknya adalah semalam apabila para penyokong Trump merusuh dan menyerbu bangunan Capitol ketika Kongres dalam proses untuk mengesahkan kemenangan Biden.
Bagi Trump, rusuhan tersebut adalah ‘kejayaan’ baginya kerana itu kononnya membuktikan beliau masih ‘ada taring’ dan perjuangannya untuk kekal sebagai presiden masih diterima ramai.
Walaupun begitu, Trump sebenarnya juga berdepan dengan jalan sukar apabila Demokrat berjaya menguasai Senat AS apabila memenangi pilihan raya di Georgia, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Republikan.
Kekalahan Republikan itu disahkan selepas Jon Ossoff diisytiharkan sebagai pemenang dalam pemilihan Senat.
Seperti biasa, Trump tidak mengiktiraf kemenangan itu dan berjanji untuk terus berjuang habis-habisan.
Selain berdepan dengan kekalahan dalam Dewan Senat, Republikan juga pincang apabila ramai ahlinya mendakwa Trump punca parti itu kalah dan semakin merudum.
Pokoknya, sampai bila Trump hendak berjuang dan apakah nasib Biden selepas beliau berjaya mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang baharu?