WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengarahkan penggunaan penjara swasta dihentikan bagi pesalah persekutuan kerana didapati hanya memberi insentif hukuman lebih banyak kepada banduan di penjara tanpa membaiki keadaan fasiliti tersebut.
Biden mengarahkan Jabatan Kehakiman menghentikan penggunaan kemudahan tahanan swasta yang menempatkan sekitar 16 peratus tahanan persekutuan.
“Terdapat konsensus yang luas mengenai sistem tahanan ketika ini yang membebankan kos dan menimbulkan kesulitan besar kepada masyarakat serta tidak menjadikan kita lebih selamat.
“Bagi menurunkan tahap penahanan, kita harus mengurangkan insentif berasaskan keuntungan untuk dipenjarakan dengan menghentikan pergantungan Kerajaan Persekutuan terhadap kemudahan penahanan jenayah yang dikendalikan secara swasta,” katanya.
Menurut Biden, penjara swasta yang menempatkan seramai 116,000 daripada lebih dua juta banduan di bawah pengawasan persekutuan dan negeri di negara ini, lebih buruk daripada kemudahan yang dikendalikan oleh kerajaan.
“Kemudahan tahanan pesalah jenayah yang dikendalikan secara persendirian secara konsisten tidak mempunyai kemudahan persekutuan yang selari dengan konsep perkhidmatan, program dan sumber pembetulan.
“Kita perlu memastikan tempoh di penjara adalah mempersiapkan individu bagi menempuh bab kehidupan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Pengendali penjara swasta wujud pertama kali di AS pada 1980an ketika populasi penjara semakin meningkat disebabkan kes dadah.
Situasi tersebut menjadikan perniagaan itu semakin besar dan menguntungkan dengan syarikat penjara diperdagangkan secara terbuka di bursa saham.
Disebabkan dorongan mengaut keuntungan, penjara itu dikutuk kerana tidak menjaga kebajikan dan kemudahan asas banduan.
Pengendali turut didakwa mengenakan polisi hukuman keras supaya kemudahan yang disediakan dipenuhi banduan. -AFP