CAROLINA: Seorang penggesek piring hitam (DJ) mengalami pengalaman aneh apabila seekor beruang hitam liar berkunjung ke rumahnya, lapor Daily Mail.
Haiwan itu tiba-tiba muncul apabila mendengar bunyi muzik sebelum berusaha membuka pintu rumah Jody Flemming, 50, di kawasan pergunungan Asheville, Carolina Utara.
Flemming begitu asyik dengan muzik yang sedang dimainkannya sehingga tidak menyedari kehadiran beruang besar itu yang sedang memerhatikannya dengan kedudukan mereka hanya dipisahkan dengan sebuah pintu kaca.
Selepas terlihat bayang-bayang, lelaki itu menyangkakan jirannya sedang berdiri di depan pintu rumah, namun, dia akhirnya menyedari kehadiran beruang itu.
Dia cuba menghalau haiwan itu dengan tenang dan mendapatkan telefon bimbit untuk menangkap gambar haiwan itu.
Secara kebetulan, sebuah kereta baru tiba di kawasan rumahnya yang menyebabkan beruang itu melarikan diri serta-merta.
Flemming memuat naik video kejadian itu dalam Instagram dan menerima 20,000 tontonan dalam tempoh 24 jam.
Beruang hitam didapati lebih berbahaya daripada beruang coklat dan berpotensi besar menyerang manusia jika bertemu dalam jarak dekat.
Penduduk Carolina Utara sering terserempak dengan beruang hitam, yang banyak terdapat di negeri itu terutamanya di kawasan pergunungan.
Jumlah haiwan itu meningkat 300,000 di seluruh Amerika Syarikat dengan kebanyakan tinggal di Montana, Idaho dan Dakota Utara.