WASHINGTON: Seorang penghantar makanan wanita bertindak membawa balik makanan dipesan oleh seorang pelanggan hanya kerana tidak berpuas hati dengan tip yang diberikannya.
Lapor Mirror, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah di New York menunjukkan pelanggan tersebut meminta penghantar makanan dari DoorDash meletakkan bungkusan makanan di depan pintunya.
Namun, wanita berkenaan tidak berbuat demikian dan memberitahu mahu bercakap dengan pelanggannya mengenai tip berjumlah AS$8 (RM32.25) yang ditinggalkan untuknya.
Penghantar makanan itu meminta pelanggan lelaki tersebut mempertimbangkan jarak 20 kilometer dan masa perjalanan selama 40 minit yang terpaksa ditempuhinya untuk memandu dari restoran ke rumahnya bagi menghantar pesanan makanan itu.
Pelanggan itu kemudian bertikam lidah dengan wanita berkenaan sambil menegaskan perjalanan dari restoran tersebut hanya mengambil masa 15 atau 20 minit.
Pertengkaran itu akhirnya membuatkan wanita itu berang lalu membawa balik bungkusan makanan yang dipesan oleh pelanggan tersebut.
Klip video yang dimuat naik di laman YouTube itu ditonton lebih 440,000 kali.