SYDNEY: Pengendali ubat-ubatan Australia meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dengan suntikan dos pertama dijadualkan bermula pada penghujung Februari.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengumumkan, Pentadbiran Ubatan Terapeutik (TGA) meluluskan penggunaan vaksin tersebut, sekali gus menjadi vaksin pertama digunakan di negara ini untuk mencegah Covid-19.
“Kelulusan ini bukan kelulusan kecemasan seperti yang dibuat oleh negara lain.
“Tetapi, ini adalah kelulusan rasmi yang mengikut prosedur TGA dan kami menjadi antara negara pertama yang melakukan kajian terperinci sebelum penggunaan vaksin diluluskan,” katanya.
Australia setakat ini sudah menempah 10 juta dos vaksin Pfizer dan mencukupi untuk dibekalkan kepada lima juta penduduk. – AFP