WASHINGTON: Pasukan pendakwa raya ketenteraan Amerika Syarikat (AS) memfailkan pendakwaan secara rasmi terhadap pengganas Indonesia dan dua lagi berhubung insiden pengeboman di Bali pada 2002 serta Jakarta pada 2003.
Kesemua pendakwaan itu difailkan selepas hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga pengganas itu ditahan di Thailand dengan setiap seorang daripada mereka menghabiskan masa selama lebih 14 tahun dalam penjara di Guantanamo Bay, Cuba.
Pendakwaan pertama difailkan terhadap anggota militan, Riduan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali iaitu pemimpin kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dan dipercayai menjadi anggota kanan rangkaian al-Qaeda di Indonesia.
JI yang mendapat sokongan daripada al-Qaeda mengebom sebuah kelab malam yang dipenuhi pelancong luar di Bali pada 12 Oktober, menyebabkan seramai 202 orang terbunuh.
Pada 5 Ogos 2003, satu serangan bom dilakukan di hotel JW Marriott di Jakarta yang menyaksikan seramai 12 orang terbunuh dan puluhan cedera.
Dua lagi yang didakwa adalah rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang merupakan pembantu utama Hambali dalam JI.
Selain itu, kedua-duanya juga dilaporkan pernah mengikuti latihan militan yang dilakukan oleh al-Qaeda.
Pentagon menerusi kenyataan memaklumkan pendakwaan itu termasuk konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, sengaja mendatangkan kecederaan serius, keganasan, menyerang penduduk awam, merosakkan harta benda awam dan mencabul undang-undang perang.
Namun, tidak dapat dipastikan kenapa baru sekarang pihak berkuasa AS memfailkan pendakwaan tersebut.
Pada 2016, Hambali pernah mengemukakan tuntutan untuk dibebaskan dari Guantanamo, namun ditolak atas alasan ‘dia masih menjadi ancaman kepada keselamatan AS’. – AFP