KUWAIT: Kerajaan Arab Saudi akan membuka semula sempadan negaranya termasuk ruang udara kepada Qatar, menurut pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Kuwait.
Langkah penting itu dijangka menamatkan krisis diplomatik kedua-dua negara yang menyaksikan Riyadh memimpin pakatan untuk memulaukan Doha.
Pengumuman mengejutkan itu dilakukan pada persidangan tahunan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berlangsung di Al-Ula, Arab Saudi.
Pejabat Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri persidangan itu selepas tidak menghadiri mesyuarat tahunan tersebut selama tiga tahun lalu.
Riyadh mengetuai sebuah gabungan negara-negara di Teluk dengan bertindak memutuskan hubungan dengan Doha pada Jun 2017.
Ini berikutan dakwaan Qatar mempunyai hubungan baik dengan Iran dan menyokong kumpulan radikal Islam.
Bagaimanapun, Qatar menafikan dakwaan tersebut.
Sebelum ini, Washington meningkatkan tekanan agar satu resolusi dicapai, yang digelar Qatar sebagai satu `sekatan’ yang menegaskan kesatuan negara-negara Teluk diperlukan bagi menghadapi musuh AS iaitu Iran ketika tempoh pemerintah Presiden AS, Donald Trump akan berakhir.
Seorang pegawai AS mendakwa, menantu yang juga penasihat kanan Trump, Jared Kushner berada di wilayah itu untuk berunding dan akan menghadiri majlis menandatangani kejayaan menamatkan krisis itu.
Menteri Luar Kuwait, Ahmad Nasser Al Sabah menerusi saluran televisyen tempatan mengumumkan bahawa persetujuan dicapai untuk membuka semula ruang udara serta sempadan darat dan laut antara kerajaan Arab Saudi dan Qatar.
Katanya, persetujuan itu berdasarkan cadangan Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah yang mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menyelesaikan krisis tersebut. – AFP