Ancaman pengganas di Indonesia ‘tidak tidur’ - Utusan Malaysia

Ancaman pengganas di Indonesia ‘tidak tidur’

ZULKARNAEN yang disyaki dalang pengemboman Bali pada 2002 ditahan Densus 88 pada Disember tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ketika seluruh dunia ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19, Indonesia juga tidak terkecuali, malah kes jangkitan wabak koronavirus di negara ini semakin meningkat hari demi hari.

Sama seperti kerajaan negara lain, Indonesia juga bertungkus-lumus memastikan kadar jangkitan dapat dikawal, sekali gus mencegah wabak tersebut.

Biarpun begitu, Indonesia masih berdepan dengan satu lagi ancaman iaitu organisasi pengganas yang disifatkan ‘terus subur’ di negara ini.

Pandemik Covid-19 dilihat tidak memperlahankan pergerakan organisasi pengganas di negara ini, malah banyak kumpulan menjalankan aktiviti mereka secara tersembunyi dan berhati-hati.

Pengarah Penguatkuasaan Agensi Pencegahan Keganasan Kebangsaan Indonesia (BNPT), Eddy Hartono, beliau menyatakan kegiatan keganasan di negara ini ‘tidak tidur’.

“Organisasi pengganas masih aktif merekrut anggota baharu, menyebarkan ideologi songsang, mengutip derma dan melakukan latihan.

“Satu-satunya perkara yang dilihat sedikit perlahan ketika ini adalah kebanyakan kumpulan militan tidak dapat menghantar anggota mereka untuk ‘berjihad’ di Syria dan Iraq kerana sekatan perjalanan susulan Covid-19,” katanya.

Pasukan polis anti keganasan Indonesia atau Densus 88 setakat ini sudah menahan seramai 232 orang yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan di seluruh negara pada tahun lalu berbanding 275 pengganas pada 2019.

Eddy juga menjelaskan bahawa banyak kumpulan militan di negara ini masih merancang untuk menyerang pegawai keselamatan, Perlembagaan negeri, pasukan tentera dan polis.

“Namun, kami (pihak berkuasa) masih mampu menangkis semua ancaman tersebut daripada berlaku,” ujarnya.

Antara yang ditahan pada tahun lalu termasuk dua pengganas paling dikehendaki Indonesia iaitu Zulkarnaen dan Upik Lawanga yang menjadi buruan pihak berkuasa negara ini selama berbelas tahun.

Zulkarnaen dipercayai dalang kepada insiden pengeboman di Bali pada 2002, manakala Upik didakwa membiayai beberapa siri serangan keganasan antara 2004 dan 2006.

 

PELANCONG melihat monumen senarai nama mangsa pengeboman Bali di Kuta, berhampiran Denpasar. – AFP

 

Pandemik tak halang kegiatan

Jelas Eddy, pihak berkuasa menemukan beberapa bilik kebal yang dijadikan tempat simpanan senjata api milik kumpulan militan di negara ini, selain penemuan sejumlah vila yang digunakan untuk melatih anggota baharu.

Selain itu, kumpulan militan di negara ini juga aktif mengumpul dana menerusi tabung amal dan bencana, malah ada juga melalui tabung bantuan Covid-19.

“Sama ada ketika pandemik atau tidak, ancaman keganasan terus wujud di Indonesia dan kami tidak pandang perkara itu dengan sebelah mata.

“Pandemik menyaksikan penduduk mengelak daripada berada di tempat orang ramai, termasuk banyak rumah ibadat mengurangkan kapasiti, menyebabkan risiko menjadi sasaran serangan pengganas dapat dikurangkan,” ujarnya.

 

PASUKAN anti keganasan Indonesia, Densus 88 menahan seramai 232 suspek pengganas pada tahun lalu. – AFP

 

Tukar sasaran

Berdasarkan berapa suspek pengganas yang ditahan, pihak berkuasa mendapati banyak kumpulan militan menukar sasaran mereka iaitu dengan merancang serangan terhadap pasukan keselamatan dan pegawai kerajaan berbanding sebelum ini yang menumpukan penduduk awam.

 

Covid-19 boleh jadi pendorong

Dalam pada itu, Eddy juga memberi amaran bahawa kemelesetan ekonomi dan tekanan hidup akibat pandemik Covid-19 boleh menjadi antara pendorong untuk penduduk dipengaruhi ideologi radikal kumpulan pengganas.

Sehubungan itu, pihak berkuasa mengambil inisiatif dengan mempromosikan nilai-nilai toleransi dan kebersamaan melibatkan pemimpin agama serta masyarakat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya