Ancaman guling kerajaan di Myanmar - Utusan Malaysia

Ancaman guling kerajaan di Myanmar

PIHAK polis mengawal ketat kawasan jalan di ibu kota Naypyidaw dengan pagar dan kawat berduri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Berpuluh-puluh kedutaan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan delegasi Kesatuan Eropah (EU) menggesa Myanmar mematuhi norma demokratik, dengan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan kebimbangan berlaku penggulingan kerajaan oleh tentera.

Myanmar dipimpin pemerintahan tentera selama 50 tahun, dengan demokrasi baru lahir yang diatur di bawah perlembagaan oleh junta tentera bagi menentukan pembahagian kekuasaan antara pentadbiran sivil dan jeneral negara.

Selama berminggu-minggu, tentera yang berkuasa didakwa menyebarkan propaganda mengenai pengundi semasa pilihan raya pada November, yang dimenangi oleh Liga Nasional Demokrasi (NLD) yang dipimpin Aung San Suu Kyi.

Seruan untuk mengesahkan daftar pemilih semakin meningkat minggu ini, dengan seorang jurucakap tentera pada Selasa menolak kemungkinan pengambilalihan tentera bagi menangani krisis politik.

Ketakutan meningkat setelah Panglima Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing meniupkan sentimen pada Rabu dengan memberitahu perlembagaan negara dapat ‘ditarik kembali’ dalam keadaan tertentu.

Anggota Parlimen yang baru dipilih dijangka bersidang pada 1 Februari, dengan kawasan jalan di ibu kota Naypyidaw dikawal ketat dengan pagar dan kawat berduri hari ini.

Kedutaan AS bersama 16 negara termasuk EU mengeluarkan kenyataan rasmi mendesak pasukan tentera mematuhi norma-norma demokrasi.

“Kami menantikan pertemuan damai di Parlimen pada 1 Februari dan pemilihan presiden dan speaker dewan.

“Kami menentang sebarang cubaan untuk mengubah keputusan pilihan raya atau menghalang peralihan demokrasi Myanmar.”

Setiausaha Jeneral PBB, Antonio Guterres, menzahirkan keprihatinan besar mengenai perkembangan Myanmar kebelakangan ini, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric.

“Beliau mendesak semua watak politik menghentikan segala bentuk hasutan atau provokasi, menunjukkan kepemimpinan dan mematuhi norma-norma demokrasi serta menghormati keputusan pilihan raya,” katanya.

Pilihan Raya pada November lalu merupakan pemilihan demokrasi kedua yang menyebabkan Myanmar berjaya keluar daripada pemerintahan diktator ketenteraan selama 49 tahun.

Seperti dijangka, Suu Kyi yang merupakan tokoh yang sangat popular di Myanmar dan partinya berjaya menyapu bersih dalam pilihan raya, bagi penggal pentadbiran lima tahun lagi.

Namun, pihak tentera mendakwa terdapat 10 juta kes penipuan pemilih di seluruh negeri dan menuntut diselidiki serta senarai daftar pemilih dikeluarkan daripada suruhanjaya pilihan raya untuk pengesahan. -AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya