JAKARTA: Pemimpin Majlis Mujahidin Indonesia (MMI), Abu Bakar Baasyir secara rasmi akan dibebaskan dari Penjara Gunung Sindur, Bogor, Jawa barat, Jumaat ini.
Tribunnews melaporkan, Baasyir dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pada 16 Jun 2011 kerana terbukti terlibat dalam jenayah keganasan.
Baasyir yang merupakan pengurus Sekolah Berasrama Penuh Islam Mukmin Ngruki, Jawa Tengah, terbukti menggerakkan orang lain dalam menyalurkan dana melakukan akitiviti keganasan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Protokol Direktorat Jeneral Pemasyarakatan, Rika Aprianti berkata, tertuduh akan dibebaskan pada 8 Januari ini iaitu menandakan berakhirnya tempoh hukuman yang dijalani.
Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Imam Suyudi berkata, Baasyir akan dibebaskan selepas mendapat pengampunan selama 55 bulan.
Jelasnya, sepanjang menjalani hukuman, Baasyir mendapat pengampunan umum dan sakit berpanjangan.
“Beliau sudah menjalani hukuman dengan baik dan mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) pembangunan keselamatan di penjara keselamatan maksimum Gunung Sindur. Kita akan bebaskannya Jumaat ini,” katanya.
Menurutnya, tiada syarat khusus yang dikenakan dalam pembebasan itu kerana Baasyir akan dibebaskan sepenuhnya.
Semasa pembebasan itu nanti, pihaknya juga akan memastikan kawalan keselamatan melibatkan Polis Kebangsaan 88 Antikeganasan dan Polis Republik Indonesia (Polri).