JAKARTA: kematian akibat gempa bumi dan banjir yang melanda beberapa bahagian tengah Indonesia meningkat kepada 96 orang dengan hampir 70,000 hilang tempat tinggal.
Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana (BNPB), Raditya Jati berkata, sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh selepas gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter serta gempa susulan sekuat 5.9 magnitud melanda Sulawesi Barat pada minggu lalu.
Lapor agensi berita Xinhua, Bencana banjir yang melanda wilayah Kalimantan Selatan pula menyaksikan seramai 15 orang terkorban.
Gempa bumi di Sulawesi Barat juga menyaksikan kira-kira 28,000 penduduk mendapatkan perlindungan di 25 pusat pemindahan di bandar Mamuju dan daerah Majene,
Selain itu, hampir 40,000 mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara di Kalimantan Selatan.
Jumlah rumah yang rosak akibat gempa turut meningkat kepada 1,150 unit, termasuk lima buah bangunan sekolah.
Di Kalimantan Selatan, bencana banjir yang melanda sejak 14 Januari lalu menyebabkan hampir 25,000 kediaman musnah.
Sehubungan itu, pihak berkuasa wilayah tersebut mengisytiharkan darurat.