HONG KONG: Keberkesanan vaksin Covid-19 diragui, bimbang mengenai kesan sampingan dan tiada pilihan pembekal vaksin lain.
Itu adalah tiga alasan utama yang menyebabkan ramai golongan muda di Hong Kong menzahirkan kerisauan mengenai langkah membendung virus Covid-19 dengan dua daripada lima orang yang ditemui dalam tinjauan menolak menerima suntikan vaksin.
Hampir 90 peratus responden tidak berpuas hati dengan cara Kerajaan Hong Kong menangani pandemik Covid-19 dengan 55 peratus mengatakan langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa adalah terlalu lemah.
Tinjauan itu dilakukan oleh kumpulan kebajikan Youth New World yang membantu keluarga berpendapatan rendah melibatkan seramai 412 penduduk Hong Kong berumur bawah 30 tahun antara 23 hingga 31 Disember tahun lalu menerusi kaji selidik dalam talian.
Sekitar 41 peratus responden berasa ragu-ragu dan menolak untuk menerima vaksin.
Hanya lapan peratus responden bersedia menerima suntikan vaksin itu, sementara 37 peratus berkemungkinan menerimanya, baki 14 peratus tidak memberikan maklum balas.
Hanya enam peratus responden menyatakan mereka tidak akan dijangkiti wabak tersebut.
Naib Pengerusi Youth New World, Tang Wing-Yiu menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam skim vaksinasi bagi meredakan kerisauan masyarakat.
“Ini adalah isu keyakinan. Kebanyakan golongan muda mengambil langkah tunggu dan lihat terhadap pengambilan vaksin.
“Kerajaan perlu membekalkan maklumat yang lebih tepat, saintifik dan terkini kepada masyarakat bagi menangani keraguan dan kecurigaan,” katanya.
Kerajaan Hong Kong memaklumkan penduduknya dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 paling awal pada bulan depan.
Menteri Perkhidmatan Sivil, Patrick Nip Tak Kuen yang mengetuai program vaksinasi berkata, golongan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin secara percuma di pusat penjagaan bagi golongan dewasa, hospital dan pusat vaksinasi awam.
Katanya, kerajaan akan mengambil langkah mendidik masyarakat bagi menangani kebimbangan mengenai vaksin.
Pihak kerajaan membuat perjanjian dengan syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech dan Jerman BioNTech serta Fosun Pharma bagi membekalkan vaksin tersebut.
Tempahan turut dibuat dengan vaksin AstraZeneca yang bekerjasama dengan Universiti Oxford.
Pihak berkuasa menjelaskan orang ramai boleh memilih vaksin mereka sendiri. – South China Morning Post