MOSCOW: Rusia hari ini mengumumkan bahawa seramai 1.5 juta penduduk di seluruh dunia sudah menerima suntikan vaksin Sputnik V.
Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) yang menaja pembangunan vaksin tersebut mengesahkan angka tersebut kepada AFP tanpa menjelaskan di negara mana Sputnik V sudah diedarkan.
Jurucakap RDIF, Arseny Palagin berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai pihak serta negara yang sudah menerima suntikan vaksin keluaran mereka.
Rusia menjadi negara pertama pada Ogos lalu yang mendaftarkan vaksin Covid-19 iaitu beberapa bulan lebih awal berbanding syarikat farmaseutikal barat.
Menteri Kesihatan, Mikhail Murashko memaklumkan lebih 800,000 rakyat Rusia sudah menerima suntikan Sputnik V dan 1.5 juta dos sudah diedarkan di seluruh negara. – AFP