LONDON: Orang ramai bertindak memesan sehingga 20 burger KFC masing-masing selepas aplikasi pesanan rantaian makanan segera itu mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan penurunan harga makanan secara drastik daripada 4.50 pound (RM24.53) kepada 50 pence (RM2.73).
Lapor Daily Mail, pelanggan memanfaatkan sepenuhnya `peluang’ tersebut selepas berita mengenai masalah teknikal dihadapi francais itu dikongsi dalam laman media sosial.
Masalah teknikal pada aplikasi pesanan makanan KFC juga bermaksud pelanggan dapat berjimat sebanyak 4.09 pound (RM22.30) bagi pembelian burger Zinger dan Fillet Tower yang biasanya berharga 4.59 pound (RM25).
Berita itu dikongsi secara dalam talian kira-kira pada pukul 12 tengahari waktu tempatan sekali gus menawarkan peluang kepada para pelanggan untuk membeli makan tengahari pada harga yang amat murah.
Malah, ada di antara mereka juga memesan sehingga 20 burger KFC pada satu-satu masa.
Seorang pelanggan bernama Scott Burns yang membeli empat burger fillet berasa teruja kerana membayar dua pound (RM10.90) untuk semua makanannya.
Seorang lagi pelanggan memberitahu bahawa dia tidak percaya dapat membeli 20 burger fillet KFC pada harga 10 pound (RM54.51) sahaja.
Penduduk di Southend, Essex juga mengambil kesempatan itu dengan melakukan pembelian selepas berita tersebut dikongsi dalam laman Facebook kumpulan komuniti tempatan.
Sementara itu, seorang jurucakap KFC menyifatkan perkara itu sebagai tawaran menarik untuk pelanggannya.