VUI 202012/01 ancam United Kingdom - Utusan Malaysia

VUI 202012/01 ancam United Kingdom

KEMUNCULAN varian baharu Covid-19 di England menyebabkan perintah berkurung dilaksanakan di London dan beberapa negara Eropah menyekat kemasukan rakyat negara ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jangkitan varian baharu koronavirus menyebabkan sekatan Covid-19 diperketat di beberapa bahagian di United Kingdom (UK) termasuk England, Scotland dan Wales, menyaksikan jutaan penduduk tidak dapat meraikan Krismas bersama keluarga tersayang.

Kerajaan Britain menyifatkan jangkitan varian baharu Covid-19 yang diberi nama VUI 202012/01 itu lebih mudah berjangkit berbanding varian terdahulu.

Selain itu, pakar memaklumkan virus sering menjalani proses mutasi sepanjang masa dan keadaan itu menjadi antara faktor kewujudan varian baharu dalam Covid-19.

 

Kenapa varian baharu cetus kebimbangan?

Terdapat tiga sebab varian baharu Covid-19 mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Eropah.

Antaranya termasuk mempunyai keupayaan menggantikan virus versi lain, proses mutasi yang mempengaruhi sebahagian virus penting dan keadaan itu sudah pun terbukti menerusi kajian di makmal sebelum ini, selain meningkatkan kemampuan virus menjangkiti sel penting dalam badan manusia.

Kesemua tiga faktor tersebut secara tidak langsung membentuk varian baharu yang lebih mudah berjangkit dengan cepat.

 

Berapa cepat varian baharu boleh berjangkit?

Kes pertama melibatkan varian baharu Covid-19 dikesan pada September tahun ini dan pada November lalu, kira-kira satu per tiga kes jangkitan di London melibatkan varian baharu.

Keadaan menjadi semakin genting apabila hampir dua per tiga penduduk di London dijangkiti dengan varian baharu pada pertengahan bulan ini.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sebelum ini menegaskan bahawa varian baharu itu adalah 70 peratus lebih mudah berjangkit, sekali gus berupaya meningkatkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menurut Dr. Erik Volz dari Kolej Imperial London, masih di peringkat awal untuk menentukan berapa cepat varian baharu dapat merebak dalam kalangan penduduk.

Namun katanya, varian itu merebak lebih cepat berbanding varian terdahulu dan perlu dipandang serius pelbagai pihak.

 

Bagaimana tahap jangkitan ketika ini?

Sehingga kini tidak dapat dipastikan dari mana varian baharu itu wujud, sama ada melibatkan pesakit Covid-19 di UK atau dari negara yang mempunyai kemampuan rendah untuk memantau mutasi koronavirus.

Varian tersebut ditemukan di sekitar UK kecuali di Ireland Utara dan tertumpu di London, Tenggara serta timur England.

Data yang diperoleh dari Nextstrain yang memantau kod genetik sampel virus di seluruh dunia menunjukkan beberapa kes di Denmark dan Australia berasal dari UK dan Belanda juga melaporkan perkara sama.

 

Adakah pernah berlaku sebelum ini?

Ya. Virus mutasi D614G muncul di Eropah pada Februari lalu dan menjadi bentuk virus yang dominan di seluruh dunia.

Satu lagi virus mutasi iaitu A222V merebak ke seluruh Eropah dan didakwa muncul ketika cuti musim panas di Sepanyol.

 

Dari mana ia berasal?

Penjelasan paling mudah adalah varian baharu muncul pada pesakit yang mempunyai sistem imun lemah yang tidak mampu melawan virus.

Sebaliknya, badan pesakit menjadi ‘tempat pembiakan’ untuk virus tersebut bermutasi.

 

Adakah boleh sebabkan kematian lebih besar?

Tiada bukti menunjukkan varian baharu Covid-19 boleh menyebabkan lebih banyak kematian walaupun perlu dipantau teliti.

Bagaimanapun, peningkatan kadar jangkitan boleh mencetuskan ‘huru-hara’ di kebanyakan hospital di UK.

Jika makin banyak penduduk dijangkiti, maka risiko kematian lebih besar tetap ada.

 

Adakah vaksin boleh cegah varian baharu?

Ya, hampir sepenuhnya buat masa sekarang.

Tiga vaksin Covid-19 yang mendahului ketika ini mampu meningkatkan tindak balas imun melawan virus Covid-19.

Vaksin melatih sistem imun untuk menyerang pelbagai bahagian berbeza pada virus dan walaupun sudah bermutasi, vaksin masih menjadi jalan penyelesaian terbaik. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya