LONDON: Varian baharu Covid-19 yang mula menular di Britain membawa gen mutasi yang membolehkan golongan kanak-kanak lebih mudah dijangkiti virus tersebut berbanding varian terdahulu yang menyasarkan orang dewasa.
Dalam sesi taklimat kepada media mengenai isu berkenaan, para saintis Britain dan Kumpulan Penasihat Ancaman Virus Sistem Pernafasan (NERVTAG) yang berjaya mengesan kemunculan varian tersebut memaklumkan virus mutasi itu sudah dominan di selatan Britain dan boleh ‘melumpuhkan negara ini’ jika tidak dikawal segera.
Pengerusi NERVTAG dan pakar penyakit berjangkit Universiti Oxford, Peter Horby berkata, pihaknya yakin varian baharu yang ditemukan itu mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi berbanding varian virus sedia ada di United Kingdom (UK).
Anggota NERVTAG dan pakar epidemilogi penyakit berjangkit di Kolej Imperial London, Neil Ferguson menyatakan berdasarkan data yang dikaji, varian baharu tersebut lebih mudah menjangkiti kanak-kanak berbanding orang dewasa.
“Terdapat petunjuk bahawa kanak-kanak lebih mudah dijangkiti varian baharu itu. Biarpun belum melibatkan sebarang kes, namun kita boleh jangkakan berdasarkan data yang dikaji.
“Kami perlu mengumpul lebih banyak data untuk melihat corak penularan varian tersebut,” katanya.
Kenyataan Ferguson turut disokong oleh seorang lagi anggota NERVTAG, Wendy Barclay yang merupakan pakar virologi.
Jelas beliau, antara mutasi varian baharu tersebut termasuk cara ia memasuki sel dalam badan manusia dan golongan kanak-kanak tidak terkecuali untuk dijangkiti sama seperti dewasa.
“Kita jangkakan lebih banyak kanak-kanak akan dijangkiti Covid-19 selepas ini,” ujarnya.
Cetus kekecohan
Penduduk Britain berdepan dengan ‘pengasingan’ selepas kebanyakan negara menutup pintu sempadan dengan negara ini susulan kemunculan varian baharu tersebut.
Keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan kekecohan termasuk banyak penduduk bimbang mereka akan mengalami kekurangan bekalan makanan.
Puluhan trak terkandas di lebuh raya Britain selepas Eropah menutup pintu sempadannya.
Pemandu trak dari Poland, Stanislaw Olbrich, 55, yang terkandas kira-kira 40 kilometer ke utara Dover memberitahu dia kesal dengan keputusan mengejut yang dilakukan oleh pemimpin Eropah untuk menutup sempadan dengan Britain.
Amaran kekurangan bekalan makanan
Ketika lebuh raya dipenuhi dengan kenderaan yang cuba ‘melarikan diri’ daripada sekatan baharu Covid-19 di Britain, penduduk sudah mula berpusu-pusu ke pasar raya untuk mendapatkan stok makanan.
Rangkaian pasar raya Sainsbury dan Tesco menyatakan kekurangan bekalan makanan dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang jika trak bekalan terkandas di lebuh raya.
“Antara stok makanan yang bakal mengalami kekurangan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan yang kebanyakannya diimport dari Eropah,” kata jurucakap Sainsbury.
Pasaran saham juga terjejas
Kekecohan yang berlaku turut memberi kesan kepada pasaran saham dunia termasuk saham syarikat penerbangan.
Syarikat penerbangan British Airways turun sebanyak tujuh peratus manakala Air France KLM kerugian kira-kira tiga peratus, selain mata wang Britain juga turun sehingga 2.5 peratus berbanding dolar.
WHO gesa jangan panik
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan penduduk dunia tidak perlu panik dengan situasi yang berlaku ketika ini dengan menjelaskan varian virus adalah perkara biasa dalam evolusi pandemik.
“Adalah penting untuk kita bersikap telus dengan masyarakat dengan memaklumkan perkara sebenar yang berlaku, terutamanya melibatkan pandemik Covid-19.
“Kejayaan mengesan varian baharu ini adalah satu perkembangan positif dalam sektor kesihatan umum dan usaha Britain untuk menyampaikan penemuan ini kepada penduduk global harus dipuji,” kata Ketua Kecemasan WHO, Mike Ryan. – AGENSI