JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan kerajaan akan membekalkan vaksin Covid-19 secara percuma untuk semua rakyat di negara ini.
Lapor CNN Indonesia, Jokowi berkata, pemberian vaksin akan dilakukan secara berperingkat dan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan dan anggota polis.
“Selepas itu, semua orang akan mendapatkan vaksin secara percuma, tidak perlu membayar apa-apa,” katanya.
Menurut Jokowi, proses vaksinasi akan dilakukan pada Januari tahun depan dan sebanyak 1.2 juta dos vaksin sudah tiba di negara ini.
Vaksin tersebut dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal China iaitu Sinovac dengan kerjasama PT Bio Farma yang merupakan milik Indonesia.
Selain itu, Jokowi juga mengesahkan bahawa beliau akan menjadi individu pertama di negara ini yang menerima suntikan vaksin tersebut.
Katanya, beliau sudah bersetuju dengan perkara itu bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang dihasilkan adalah selamat.
Sebelum ini, Jokowi pernah menyatakan kesediaannya untuk disuntik Covid-19 jika ditawarkan oleh pihak berkuasa kesihatan negara ini.
Namun, tidak dapat dipastikan bila beliau akan menerima suntikan tersebut memandangkan vaksin berkenaan masih menunggu hasil penilaian Badan Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) serta fatwa halal Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Dalam pada itu, orang ramai menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi vaksin secara percuma.
Malah, rakyat juga bersedia mengikuti program vaksinasi selagi mana disahkan selamat.
Pegawai pemasaran hartanah, Aida, 53, berasa gembira dengan pemberian vaksin percuma itu dan berharap jangkitan Covid-19 dapat dicegah selepas rakyat menerima suntikan tersebut.
Selain itu, wanita tersebut juga berharap ekonomi negara ini dapat dipulihkan segera.
Bagi pekerja kilang, Heri, 42, dia turut menzahirkan kesyukuran kerana akhirnya vaksin Covid-19 diberikan secara percuma.
Katanya, pemberian itu akan mengurangkan beban ekonomi ketika wabak semakin mengganas di seluruh dunia.
“Sekiranya percuma, saya sangat bersyukur kerana dapat meringankan beban ekonomi penduduk kerana duit itu boleh digunakan untuk membeli keperluan lain,” katanya.
Sementara itu, Nur Cholis, 31, berkata, pihak kerajaan memang wajar kerajaan memberikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada masyarakat kerana program vaksinasi adalah tanggungjawab negara.
Caption:
Pix 1: KETIBAAN vaksin Covid-19 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini turut diiringi petugas perubatan yang lengkap memakai sut perlindungan diri (PPE). – AFP