MIAMI: Ular sawa Burma mungkin menjadi menu hidangan baharu di Florida sekiranya saintis dapat mengesahkan spesies yang mengancam kawasan Evergaldes selamat untuk dimakan.
Lapor CNN, Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida ketika ini sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk mengkaji tahap merkuri pada ular sawa bagi menentukan perkara tersebut.
Jika dibuktikan selamat, maka spesies itu bakal dihidangkan sebagai menu makanan baharu di kebanyakan restoran dan rumah di seluruh negeri ini.
“Ia masih dalam proses kajian merkuri. Kami kini berada di peringkat pengumpulan tisu dan pandemik Covid-19 melambatkan projek ini.
“Pelan kami adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin sampel ular sawa yang ditangkap oleh kontraktor program,” kata jurucakap suruhanjaya, Susan Neel.
Setakat ini, lebih 6,000 ular sawa ditangkap dan dikeluarkan dari Everglades menerusi program tersebut.
Jelas Neel, objektif kajian itu adalah untuk meneliti dan berkongsi mengenai cadangan memasukkan haiwan tersebut ke dalam senarai menu hidangan di negeri ini, selain memberi maklumat lanjut kepada penduduk.
Beliau berharap agar warga Florida dapat menikmati hidangan ular sawa bagi membantu mengawal populasi haiwan itu.
Sementara itu, seorang peserta program itu, Donna Kalil berpandangan haiwan itu sebenarnya boleh menjadi hidangan yang enak selepas spesies itu disahkan selamat untuk dimakan.