UK bukan lagi destinasi pengajian pilihan - Utusan Malaysia

UK bukan lagi destinasi pengajian pilihan

BREXIT dijadualkan bermula pada 1 Januari 2021 menyaksikan United Kingdom (UK) keluar dari blok Kesatuan Eropah (EU). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Universiti Oxford dan Cambridge dinobatkan sebagai antara institusi pendidikan terbaik dunia dengan melahirkan ramai ilmuan dari seluruh dunia, namun keadaan itu mungkin berubah selepas Brexit dilaksanakan pada Januari 2021.

Para pelajar dari Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa United Kingdom (UK) mungkin tidak lagi menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian kerana selepas Brexit berkuat kuasa, yuran pengajian akan meningkat secara drastik, selain berdepan dengan undang-undang yang ‘melecehkan’.

Seorang pelajar dari Poland, Michal Gren, 23, kini dalam pertimbangan untuk melanjutkan pengajian di Britain atau tidak.

“Semakin sukar untuk buat keputusan sama ada UK masih menjadi tempat terbaik untuk para pelajar menyambung pengajian mereka selepas ini,” katanya.

Pelajar Universiti Sheffield Hallam di utara England, Daniel Haid, 27, dari Jerman pula menceritakan dia pernah bertanya kepada beberapa pelajar EU lain sama ada mereka ingin belajar di UK atau tidak.

“Jawapan mereka adalah tidak. Kami mendapat banyak kemudahan dan keistimewaan menjadi penduduk EU, malah kami juga mempunyai pilihan yang bagus.

“Pada pandangan saya, rejim baharu Britain selepas Brexit dilihat ‘tidak menawarkan persaingan yang menarik’,” ujarnya.

Kebimbangan mengenai kemerosotan jumlah kemasukan pelajar Eropah di UK juga disuarakan oleh Laura Langone, 31, yang merupakan pelajar tahun tiga doktor falsafah (PhD) di Universiti Cambridge .

Katanya, dia berasa takut untuk melihat apa yang akan berlaku selepas Brexit dilaksanakan.

“Sudah pasti jumlah kemasukan pelajar Eropah akan menurun kerana ramai dalam kalangan mereka rasa ‘kurang berminat’ untuk memohon melanjutkan pengajian di universiti ini,” jelasnya.

Ketua Persekutuan Pelajar Poland, Dominik Frej, 22 yang merupakan pelajar bidang kejuruteraan aero angkasa di Universiti Queen Mary di London menjangkakan pengurangan jumlah kemasukan pelajar Eropah ke UK boleh mencecah 75 peratus.

Perkhidmatan Kemasukan Universiti dan Kolej (UCAS) memaklumkan kemerosotan jumlah permohonan pelajar Eropah untuk memasuki insitusi pendidikan di UK sudah pun direkodkan sebelum ini.

Pada 2019, seramai 6,480 pelajar memohon untuk menyambung pengajian di UK, namun angka itu menurun kepada 5,220 pada tahun ini.

 

PELAKSANAAN Brexit bakal memberi kesan terhadap jumlah kemasukan pelajar dari Eropah ke Universiti Cambridge. – AFP

 

Perbelanjaan besar

Antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi pelajar Eropah jika mereka ingin menyambung pengajian di UK adalah perlu membayar yuran yang mahal.

Masalah itu akan timbul apabila Britain tidak lagi terikat dengan peraturan blok Eropah bermula 1 Januari 2021.

Yuran pengajian antarabangsa untuk ijazah dalam bidang perubatan dijangka melebihi 40,000 pound (RM218,268), manakala yuran visa pelajar pula dianggarkan 350 pound (RM1,909) dan 500 pound (RM2,728) perlu dibayar untuk perkhidmatan kesihatan UK.

Selain itu, pelajar EU tidak lagi layak menerima pinjaman pengajian UK dan negara Eropah yang miskin bakal terjejas dengan situasi tersebut.

 

Akses terhad

Dalam pada itu, Brexit juga bakal menimbulkan masalah untuk golongan pelajar tahun pertama yang terpaksa mengikuti kuliah secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Jika pelajar tidak datang ke UK pada tahun ini, mereka akan dibebani dengan yuran serta visa yang mahal.

Sehubungan itu, seorang aktivis EU di UK, Maike Bohn berkata, golongan pelajar seharusnya diberi kemudahan pergerakan dan tidak perlu terlibat dengan pelaksanaan Brexit.

Katanya, pelajar juga tidak boleh berpindah ke lokasi pengajian dengan mudah kerana sistem undang-undang UK sudah berubah selepas keluar dari EU. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya