LONDON: Bermula tahun depan, peperiksaan Sijil Am Pelajaran Menengah (GCSE) dan A-level di England akan menjadi lebih mudah berikutan pandemik Covid-19.
Lapor Daily Mail, calon yang menduduki ujian itu akan dimaklumkan awal mengenai topik yang akan keluar dalam peperiksaan malah mereka dibenarkan membawa bahan bantuan pembelajaran seperti kertas rujukan ke dalam bilik peperiksaan.
Setiausaha Pendidikan negara itu, Gavin Williamson berkata, pihaknya tidak akan membatalkan peperiksaan tahun depan walaupun berdepan gangguan sesi pembelajaran akibat ancaman wabak Covid-19.
Peperiksaan di Wales sudah dibatalkan tahun depan sementara Kerajaan Scotland memutuskan untuk menggantikan penilaian GCSE dan peperiksaan National 5 dengan penilaian bersesuaian.